fbpx

Pelakon terkenal Fattah Amin menegaskan bahawa krisis rumah tangga yang dihadapinya sama sekali tidak menggoyahkan kasih sayangnya terhadap isteri, Nur Fazura.

Tidak Ada Lafaz Cerai, Fattah Masih Sayangkan Fazura

Fattah, atau nama sebenarnya Abdul Fattah Mohd Amin, 34, berkata beliau masih teguh mempertahankan ikatan perkahwinan yang dibina sejak tahun 2017 dan berusaha sebaik mungkin untuk memulihkan keadaan.

“Alhamdulillah urusan dipermudahkan. Saya masih berpegang dengan kenyataan saya sebelum ini iaitu masih sayangkan Fazura.

Tidak terjadi lafaz talak (terhadap Fazura),” jelas Fattah ketika ditemui selepas prosiding mahkamah di Mahkamah Rendah Syariah, Subang Bestari, Selangor, pada Rabu.

Walaupun prosiding cerai difailkan, kes tersebut masih belum mencapai kata putus, dan mahkamah menetapkan 7 Oktober sebagai tarikh sebutan semula.

Dalam masa yang sama, Fattah mengakui bahawa situasi ini turut memberi kesan kepada dirinya, terutamanya dalam urusan kerjaya.

“Saya ada perasaan dan bukannya robot, pasti terganggu itu saja boleh cakap,” ujarnya ringkas.

Sementara itu, peguam yang mewakili Fattah, Zulkifli Che Yong, menjelaskan bahawa pasangan ini masih belum bersetuju untuk bercerai secara baik kerana terdapat beberapa perkara yang masih dalam proses perbincangan.

“Apa yang saya boleh nyatakan bahawa mereka berdua belum bersetuju untuk bercerai secara baik kerana sedang memuktamadkan beberapa terma-terma bagi menyelesaikan secara baik berkenaan isu berkaitan semasa perkahwinan.

“Perkara ini perlu diselesaikan secara baik supaya mereka tidak memanjangkan lagi apa yang belum selesai,” katanya.

Terdahulu, pada 13 September, Fazura dikatakan telah memfailkan permohonan cerai terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Selangor.

Untuk rekod, pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Nur Fatima Aisya, yang kini berusia tiga tahun.

Kredit: Mstar

 

[fbcomments]