Akibat sering bergaduh kerana hidup dalam kemiskinan, seorang wanita bertindak membunuh suaminya sendiri dalam satu kejadian di daerah Rejang Lebong, Bengkulu pada baru-baru ini.
Tetak Suami Sampai Mati Kerana Asyik Bergaduh Tentang Kewangan
Berdasarkan laporan dari portal TVonenews, difahamkan suspek yang dikenali sebagai Asmaul Husna berusia 38 tahun dipercayai telah menyerang suaminya yang berusia 44 tahun dengan sebilah parang di sebuah kebun berhampiran dengan rumah mereka.
Akibat daripada kecederaan itu, mangsa mengalami luka parah di bahagian belakang leher dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Dikatakan kejadian tersebut tercetus selepas berlakunya perselisihan faham antara mereka sehingga membuatkan suspek bertindak di luar kawalan.
Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua pasangan suami isteri ini dikatakan sering bertengkar kerana mempunyai masalah kewangan.
Mayat mangsa kini telah dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. Manakala suspek ditahan polis untuk tindakan selanjutnya.
Pihak polis juga kini masih gigih mencari barang bukti iaitu sebilah parang yang dipercayai telah dibuang suspek selepas kejadian.
Kredit: portal TVonenews