Bekas pelakon terkenal, Iqram Dinzly kini lebih selesa memberi tumpuan kepada perniagaan kerepek dan sambal yang diusahakannya.
Selepas melalui pelbagai cabaran dalam kerjaya seni, Iqram membuat keputusan untuk meninggalkan dunia lakonan dan memulakan fasa baharu dalam hidupnya.
Iqram Dinzly Fokus Perniagaan, Tegas Tidak Akan Kembali Berlakon
Menurut Iqram, kontroversi yang melibatkan dirinya suatu ketika dahulu memberi kesan besar kepada perjalanan kariernya. Kali terakhir dia terlibat dalam dunia lakonan adalah pada tahun 2022 menerusi drama Cinta Hilang Kata.
“Saya mengakui kontroversi di mana saya dituduh gila dan sesat memberi kesan kepada kerjaya seni.
“Tetapi, saya terima aturan Allah. Namun, maaf, tiada istilah ‘comeback’ untuk saya dalam bidang lakonan.
“Saya sedar bergelar selebriti membuatkan saya lupa diri. Sekarang saya fokus ke hadapan,” katanya.
Kini, Iqram memilih untuk menumpukan perhatian sepenuhnya kepada perniagaan kecilnya. Meskipun tampak sederhana, beliau menganggap usaha ini sebagai peluang untuk membuktikan dirinya mampu berjaya.
“Orang nampak mudah tetapi kena ingat, saya mulakan perniagaan dalam keadaan difitnah oleh pelbagai pihak.
“Itulah cabaran untuk saya buktikan bahawa diri ini mampu berjaya,” ujarnya.
Bagi Iqram, perniagaan ini juga menjadi ruang untuk dia belajar banyak perkara baharu selain mencabar diri untuk keluar daripada zon selesa.
Selain fokus pada perniagaan, Iqram turut dihimpit gosip mendakwa dia sudah mendirikan rumah tangga dengan seorang usahawan dari Kelantan. Bagaimanapun, Iqram memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai perkara tersebut.
“Jodoh, ajal dan maut, semuanya ketentuan Allah. Apa yang terbaik daripada Dia, saya terima.
“Mengenai dakwaan sudah bernikah, biarlah rahsia. Lagipun, saya malas hendak berkongsi kisah peribadi. Bimbang akan memakan diri,”tambahnya lagi.
Menurut Iqram, tiada istilah terlambat untuk mendirikan rumah tangga. Baginya, keserasian dan pegangan agama menjadi faktor utama dalam mencari pasangan hidup.
Mengakhiri perbualan, Iqram menyatakan bahawa kehidupan yang lebih sederhana kini membawa ketenangan buat dirinya. Dia tidak melihat keputusan untuk meninggalkan dunia lakonan sebagai sesuatu yang perlu disesali.
Kredit: Berita Harian