Tular sebuah video yang menunjukkan seorang bekas orang kanan sebuah kumpulan kongsi gelap ‘Double Seven’ (77) Klang yang dikenali sebagai ‘Tiger Snook’ dipukul dan ditahan.
Sumber berkata, dalam kejadian jam 3.30 petang, Tiger Snook dan lima rakannya dilaporkan datang ke Jalan 25/56 Keramat Wangsa, untuk memantau kerja pemasangan paip gentian (fibre optik) sebuah syarikat telekomunikasi.
Katanya, berdasarkan maklumat, Tiger Snook ditugaskan memantau sebarang situasi di lokasi kerja pemasangan itu selepas diberikan tanggungjawab sebagai penyelia keselamatan.
Bagaimanapun berlaku kekecohan apabila salah seorang rakannya mencederakan seorang daripada kumpulan peniaga kedai makanan yang hendak berunding mengenai pemasangan paip gentian berkenaan.
Akibat daripada itu beberapa penduduk dan peniaga berhampiran memaklumkan kejadian itu kepada pihak polis
Susulan daripada maklumat berkenaan, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju, diketuai Pegawai Risikan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Inspektor Abdul Hafiz Ab Hakim, bergegas ke lokasi dan memberkas kesemua suspek terbabit.
Pergaduhan bukan membabitkan perbalahan antara kongsi gelap sebaliknya berkaitan cuba melakukan rusuhan dan kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Tiger Snook, 42, kali terakhir ditahan polis adalah pada 2 September 2016, selepas dikesan terbabit dalam pergaduhan di sebuah pusat hiburan di daerah Dang Wangi, pada malam 31 Ogos tahun yang sama.