Penuntut Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit menegaskan bahawa beliau tidak akan memohon maaf atas kenyataannya mengenai tindakan menderma wang hasil titik peluh sendiri untuk membantu golongan elit. Kenyataan itu dibuat selepas pandangannya dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini mencetuskan perdebatan.
Menerusi hantaran di Instagram, beliau menyifatkan tindakan tersebut sebagai perbuatan yang paling bodoh dan tidak bermoral.
![]()
Ummi Umairah Enggan Mohon Maaf, Kekal Pertahan Kenyataan Isu Derma Untuk Najib
Ummi Umairah berkata, beliau tetap mempertahankan persoalan yang dibangkitkan dan berharap lebih ramai orang berani bersuara mengenai rasuah serta integriti tanpa rasa takut. Beliau turut menegaskan bahawa pendiriannya tidak berubah dan beliau berpegang pada prinsip integriti, kesaksamaan serta keadilan, selain menentang rasuah.
Menurutnya, beliau tidak memilih isu tertentu untuk diperjuangkan kerana pernah menyertai demonstrasi berkaitan bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki. Beliau juga pernah menyuarakan isu ketidaksamaan peluang di universiti tempatnya menuntut dan mendakwa pendiriannya konsisten sejak hari pertama.
Dalam kenyataan sama, Ummi Umairah meluahkan kekecewaan terhadap reaksi sebahagian masyarakat yang menurutnya dipengaruhi buli siber, obsesi terhadap politik dan mentaliti feudal. Beliau menjelaskan bahawa menyifatkan sesuatu perbuatan sebagai bodoh bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang, sebaliknya merupakan ungkapan untuk menggambarkan tindakan yang dianggap sukar dipercayai atau tidak masuk akal.
![]()
Beliau turut menegaskan bahawa mengkritik sesuatu perbuatan sebagai bodoh tidak sama dengan melabel individu yang melakukannya sebagai bodoh. Ummi Umairah juga berpandangan bahawa pemikiran kritis semakin terhakis apabila orang ramai membaca sesuatu perkara tanpa berfikir, membuat penyelidikan atau memahami konteks sebenar.
Terdahulu, Ummi Umairah mempersoalkan tindakan orang ramai yang menderma bagi membantu bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membayar denda mahkamah berjumlah RM50 juta. Perkara itu dibangkitkan dalam satu forum terbuka yang turut menampilkan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebagai panel.
Kredit: Instagram, Harian Metro