Seramai 13 lelaki tempatan berusia antara 16 hingga 31 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung kejadian membaling bom Molotov di kawasan penempatan warga Rohingya di Kulai Besar, Kulai, Johor.
![]()
Empat Suspek Ada 12 Rekod Jenayah Dan Dadah, 13 Lelaki Ditahan Kes Bom Molotov
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, semua tangkapan dilakukan menerusi beberapa operasi di sekitar Johor Bahru dari 14 hingga 18 Oktober lalu. Operasi berkenaan dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai berdasarkan maklumat yang diterima pihak polis.
Hasil semakan mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod lampau membabitkan 12 kesalahan berkaitan jenayah dan dadah. Polis turut menyita 13 telefon bimbit, tiga pasang pakaian serta tiga topi besbol yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes tersebut.
Menurut Ab Rahaman, kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membolehkan siasatan diteruskan. Tempoh reman mereka berbeza mengikut suspek, dengan empat lelaki ditahan selama lapan hari termasuk reman lanjutan, bermula 14 hingga 21 Oktober.
![]()
Empat lagi suspek direman selama tujuh hari termasuk reman lanjutan dari 15 hingga 21 Oktober, manakala seorang lelaki ditahan selama lima hari bermula 15 hingga 20 Oktober. Baki empat suspek pula direman selama tujuh hari, iaitu dari 19 hingga 25 Oktober.
Dalam kenyataan sama, Ab Rahaman menegaskan bahawa Polis Johor tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana perbuatan jenayah yang boleh menjejaskan keselamatan awam serta keharmonian masyarakat di negeri itu. Beliau turut memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara telus dan adil tanpa mengira latar belakang atau kedudukan individu yang terlibat.
Kredit: Sinar Harian, Thread