fbpx

Seorang suami baru-baru ini mencuri perhatian apabila menghadiahkan isterinya sebuah kereta sebagai tanda penghargaan atas pengorbanannya melahirkan anak ketujuh mereka.

Hadiahkan Isteri Sebuah Kereta Sempena Kelahiran Anak Ketujuh

Melalui satu hantaran di Facebook, Mohd Yazid Ismail berkongsi bahawa pemberian sebuah kereta Honda City Hatchback kepada isterinya merupakan satu keperluan untuk memudahkan pergerakannya selepas selesai tempoh berpantang.

“Hadiah sebab beranak. Alhamdulillah selepas buat majlis penyerahan hadiah kereta kepada isteri sempena dia bersalin anak yang ketujuh.

“Dia kata tak kisah tiada ada kereta baharu, dia boleh naik kereta Kia Carnival untuk ke mana-mana.

“Saya tengok susah dia nak parking kereta Kia tu sebab besar sangat, kasihan. Maka saya belikan hadiah kereta lebih kecil ni,” kongsinya.

Dia turut meluahkan rasa simpati terhadap cabaran yang dihadapi isterinya sepanjang tempoh kehamilan dan proses melahirkan anak lelaki mereka, Nawwaf, pada 12 Ogos lalu.

“Nampak sangat penat masa mengandung, sakit urat, sakit badan tak selesa. Waktu nak bersalin pula dia kata sakit contraction macam kena langgar lori.

“Ya Allah tak boleh nak bayang macam mana kena langgar lori banyak kali setiap empat minit. Tuan- tuan, isteri kita sanggup mempertaruhkan nyawa untuk beranak, ia antara hidup dan mati.

“Lepas tu sambung pula pengorbanan dalam proses penyusuan selama dua tahun, setiap hari tak cukup tidur,” katanya, sambil menegaskan bahawa pengorbanan isterinya dalam menguruskan penyusuan selama dua tahun dan kurang tidur setiap hari adalah sesuatu yang tidak ternilai.

Walau bagaimanapun, Mohd Yazid mengakui bahawa hadiah kereta tersebut tidak akan pernah dapat membalas segala pengorbanan isterinya, namun sekurang-kurangnya ia adalah satu usaha kecil untuk membuatkan isterinya merasa dihargai di tengah keletihan menguruskan anak-anak mereka.

“Hadiah tanda penghargaan tak semestinya besar nilainya, kalau sekadar sejambak bunga pun dah okay. Tapi itulah, kedai bunga susah nak jumpa, tak macam kedai emas merata tempat ada.

“Jadi nak senang beli je la rantai ke gelang ke okay dah. Untuk isteri kita juga, bukan orang lain,” tambah Mohd Yazid.

Beliau turut mendedahkan bahawa ini bukan kali pertama dia menghadiahkan kereta kepada isterinya sebagai tanda penghargaan. Pada tahun 2021, dia pernah menghadiahkan sebuah kereta Mazda CX5 ketika isterinya melahirkan anak keenam mereka.

Tambah Mohd Yazid lagi, penghargaan terhadap isteri tidak semestinya ditunjukkan melalui pemberian hadiah semata-mata, tetapi juga melalui tindakan yang boleh menggembirakan hati mereka.

Sebagai contoh, seorang suami boleh turut serta dalam menjaga anak-anak dan menguruskan rumah tangga, selain memberi ruang kepada isteri untuk berehat dan mengurangkan keletihan.

“Dulu saya pernah ambil cuti setahun untuk support dia menguruskan anak kembar yang baru lahir.

“Tapi jaga anak dan urus rumah tangga memang tanggungjawab bersama, itu benda biasa.

“Buatlah benda istimewa sikit dengan bagi hadiah penghargaan. Berbunga-bunga hati isteri,” ujar Mohd Yazid.

Kredit: Mstar, FB Mohd Yazid Ismail

 

[fbcomments]