Tidak dinafikan ramai golongan yang terjejas semenjak PKP dijalankan. Antaranya ialah golongan di dalam industri hiburan. Ini kerana pelbagai aktiviti seni seperti penggambaran dan konsert terpaksa dihentikan atau ditunda.
Sejak itu pelbagai rungutan timbul dari mereka yang mencari rezeki sebagai artis atau kru, kerana terpaksa menggunakan wang simpanan bagi perbelanjaan harian.
Desak kerajaan segera keluarkan SOP
Terkini, penggiat seni terus mendesak agar kerajaan segera mengeluarkan garis panduan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi meneruskan penggambaran drama dan filem seperti dijanjikan.
Ini kerana katanya ramai penggiat seni terputus sumber kewangan bagi menyara kehidupan. Malah ada diantaranya terpaksa meraih simpati persatuan seni untuk mendapatkan keperluan makanan selain terdapat diantaranya tidak mampu membayar sewa rumah.
Janji lepas raya, tapi sekarang senyap..
“Kami mendesak agar kerajaan khususnya Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan segera SOP untuk penggiat belakang tabir melakkan penggambaran. Hari tu janji (membenarkan penggambaran) selepas raya… tapi sekarang senyap. Jangan buat kami macam ni. Kami pun nak cari makan.” – Presiden Persatuan Sutradara Malaysia (Fdam) Ahmad Ibrahim.
Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bekata, mesyuarat Khas Menteri-Menteri bersetuju membenarkan aktiviti penggambaran filem, drama dan iklan dilakukan dalam tempoh PKPB.

Beliau berkata kebenaran aktiviti penggambaran akan bermula selepas perayaan Aidilfitri dan pihak produksi perlu mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam pada itu Ahmad Ibrahim berkata, ketika ini terdapat lebih 40 syarikat produksi melibatkan kira-kira 850 kru dan artis sedang menanti SOP daripada kerajaan untuk meneruskan penggambaran yang tertangguh.