Penyanyi Ina Naim kini sah menjadi isteri kepada Mohd Khairul Rizal Mohd Shukor dalam sebuah majlis akad nikah yang berlangsung di Kampung Felcra, Sg Ara, Kota Tinggi. Dengan hanya sekali lafaz, majlis tersebut berjalan lancar pada pagi Jumaat, tepat jam 9.50 pagi.
Ina Naim Sah Bergelar Isteri
Menurut sumber dari mStar, pasangan ini disatukan oleh Penolong Pendaftar Nikah Daerah Kota Tinggi iaitu Mohammad Ramadhan Mahroji, dengan kehadiran ahli keluarga terdekat dan rakan-rakan rapat sebagai saksi ikatan perkahwinan mereka.
Ina Naim atau nama sebenarnya Nordiana Mohd Naim, menerima wang hantaran sebanyak RM7,000 serta mas kahwin RM100 daripada suaminya. Selain itu, Mohd Khairul Rizal juga menghadiahkan Ina kelengkapan solat, seutas gelang emas, sebentuk cincin, serta lima dulang hantaran sebagai simbolik kepada pernikahan mereka.
Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan turut memberikan tujuh dulang hantaran kepada pihak lelaki.
Setelah majlis akad nikah selesai, pasangan pengantin ini melanjutkan majlis persandingan mereka di lokasi yang sama pada hari tersebut. Majlis sederhana ini disambut meriah walaupun hanya dihadiri oleh keluarga dan sahabat terdekat.
Untuk pengetahuan, Ina sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan Suhaimi, seorang bekas anggota kumpulan nasyid Inteam, pada 12 Oktober 2007. Pasangan itu dikurniakan empat orang anak, iaitu Ehmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah, dan Nur Layla Elghufrony.
Namun, Suhaimi meninggal dunia pada 15 November tahun lalu akibat komplikasi kesihatan yang menyebabkan organ dalamannya gagal berfungsi.
Kredit: mStar