Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan bahawa pihaknya akan memanggil pelawak Harith Iskander, bagi mendapatkan penjelasan lebih lanjut berhubung isu kontroversi yang tular di media sosial baru-baru ini.

Isu tersebut mencetuskan perbincangan hangat selepas Harith Iskander memuat naik kenyataan berkenaan perkataan “ham” yang dikatakan menyentuh sensitiviti agama Islam.

Jakim Siasat Kontroversi Harith Iskander, Laporan Polis Dibuat

Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata, pihaknya juga telah mengambil langkah proaktif dengan membuat laporan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM). Ini bertujuan untuk memastikan siasatan dijalankan dengan teliti dan tindakan yang sesuai dapat diambil.

Selain itu, Jakim juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk mengambil tindakan terhadap akaun media sosial yang menyebarkan kenyataan kontroversi itu, termasuk sekatan akaun dan penurunan kandungan yang berkaitan.

Dalam kenyataannya di Facebook, Datuk Dr Sirajuddin menegaskan bahawa Jakim tidak akan berkompromi dalam hal yang melibatkan penghinaan terhadap ajaran Islam.

“Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara haruslah dihormati pada setiap masa dan bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujarnya dalam sebuah kenyataan di Facebook.

Isu ini bermula apabila Harith Iskander memuat naik perkongsian di Facebook yang kelihatan menyindir perkataan “ham”, yang dikaitkan dengan Nabi Muhammad SAW. Kenyataan tersebut dengan cepat menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi, termasuk daripada seorang pengguna media sosial, Cecelia Yap Song KL, yang mengulas dengan kenyataan, “All names with Mohammad… got to be renamed then.”

Sehingga kini, Jakim menasihati orang ramai untuk bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh. Jakim mengingatkan bahawa sebarang tindakan yang menyinggung sensitiviti umat Islam dan merendahkan martabat ajaran Islam tidak akan dibiarkan begitu sahaja.

Kredit: Facebook JAKIM

 

 

[fbcomments]