Pelakon dan pengacara terkenal, Janna Nick, merayu kepada orang ramai agar menghentikan soalan-soalan mengenai zuriat memandangkan dia dan suaminya, pelakon Dini Schatzmann, sudah mencuba pelbagai usaha dalam perjalanan untuk menimang zuriat.
Video di bawah:
https://www.instagram.com/reel/DB-fPzSu8hc/?utm_source=ig_web_copy_link
Tertekan Dengan Komen Netizen Yang Tidak Berasas
Janna, atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, meluahkan rasa tertekan apabila sering menjadi sasaran komen-komen negatif, termasuk tuduhan tidak berasas terhadap suaminya yang dianggap memiliki hormon wanita yang tinggi.
Janna menyifatkan komen-komen sebegini sebagai tidak berperikemanusiaan dan memberi tekanan tambahan kepada pasangan tersebut.
Menurut Janna, mereka berdua telah menjalani pelbagai ikhtiar, termasuk rawatan IVF (persenyawaan in vitro) serta beberapa pemeriksaan kesihatan untuk memahami keadaan mereka.
“Kami dah buat macam-macam yang terbaik untuk dapatkan anak. Bila orang tanya saya bila nak ada anak, saya pun tak tahu nak jawab apa. Saya pun tanya kepada Allah bila saya boleh dapat anak,” jelasnya dalam nada sebak.
Janna juga berkongsi pengalaman kegagalan rawatan IVF yang dijalani sejak setahun lalu, yang semakin memotivasikannya untuk memperbaiki gaya hidup, termasuk mengurangkan beban kerja dan menjaga pemakanan.
Di samping itu, beliau turut merayu agar masyarakat menghormati privasi mereka berdua dalam hal ini dan tidak lagi memberikan komen-komen negatif.
Sebagai usaha ikhtiar tambahan, Janna mendedahkan bahawa beliau pernah mencuba petua tradisional, seperti meminta penyanyi Nabila Razali, yang sedang hamil, untuk memijak jari kakinya sebagai salah satu usaha simbolik untuk mendapatkan anak.
“Orang beri saya petua suruh ibu mengandung pijak jari kaki, ya saya ada suruh Nabila Razali pijak jari kaki saya. Saya sangat terdesak nak anak.
“Nak dapatkan anak ni, adalah kerja Allah dan bukan kerja kita,” katanya.
Dalam luahan terdahulu, Janna pernah menceritakan perasaan kecewanya apabila melihat keputusan ujian kehamilan yang tidak menunjukkan hasil positif, walaupun sudah mengambil pelbagai vitamin dan suplemen, hingga mengakibatkan masalah kulit pada wajah.
Keadaan ini turut membuatkan emosinya terganggu setiap kali menyangkakan ada tanda-tanda kehamilan.
Untuk makluman, Janna dan Dini telah melangsungkan perkahwinan mereka di sebuah resort mewah di Pantai Chenang, Langkawi pada 10 Jun lalu. Namun, sehingga kini, mereka masih menantikan rezeki cahaya mata.
Kredit: Instagram jannanick