Seekor anak gajah dilaporkan maut selepas dilanggar sebuah lori dalam kejadian menyayat hati yang berlaku di Kilometer 80, Lebuhraya Timur–Barat (JRTB) Gerik-Jeli pada awal pagi Ahad semalam.
![]()
Anak Gajah Mati Dilanggar Lori, Ibu Gajah Bertindak Agresif Cuba Selamatkan Anak
Ketua Polis Daerah Gerik, Superintenden Zulkifli Mahmood berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila seekor anak gajah secara tiba-tiba keluar dari kawasan hutan dan melintas jalan, menyebabkan pemandu lori tidak sempat mengelak.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu tidak sempat memberhentikan kenderaannya lalu melanggar anak gajah berkenaan yang mati di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media.
Tambah beliau, kejadian berlaku sekitar jam 2.50 pagi ketika pemandu lori berusia 28 tahun itu sedang dalam perjalanan membawa muatan ayam dari Gerik ke Jeli.
![]()
Menurutnya lagi, pemandu lori itu sebelum kejadian sempat melihat kelibat seekor gajah dewasa berada di bahu jalan sebelah kanan, namun menyangka laluan tersebut masih selamat untuk dilalui.
Bagaimanapun, sejurus selepas kemalangan berlaku, ibu kepada anak gajah itu bertindak agresif dengan menghentam bahagian hadapan lori dipercayai akibat terlalu marah dan trauma melihat kematian anaknya. Bahagian depan lori dilaporkan mengalami kerosakan akibat insiden itu, namun tiada kecederaan dilaporkan ke atas pemandu.
Pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) kemudiannya bergegas ke lokasi sebelum berjaya menenangkan ibu gajah berkenaan menggunakan tembakan ubat pelali.
![]()
Sementara itu, insiden tersebut turut tular di media sosial selepas satu rakaman berdurasi lebih seminit memaparkan detik pilu ibu gajah cuba menolak lori dalam keadaan panik, seolah-olah masih berharap anaknya dapat diselamatkan.
Rakaman tersebut mengundang sebak dalam kalangan netizen yang rata-ratanya meluahkan simpati atas kejadian yang berlaku, malah ada yang mengaitkannya dengan sambutan Hari Ibu yang diraikan pada hari sama.
Susulan kejadian ini, pihak berkuasa menasihatkan semua pengguna jalan raya agar lebih berhati-hati ketika melalui Lebuhraya Timur–Barat, khususnya pada waktu malam, memandangkan laluan tersebut merupakan kawasan aktif pergerakan haiwan liar termasuk gajah.
Kredit: Sinar Harian