Jodoh adalah ketentuan yang tidak dapat diduga, dan aturan-Nya sering kali datang dalam cara yang tidak disangka. Itulah yang terjadi kepada pasangan Norhisham Mohd Nor, 64, dan Marinah Mohd Beseri, 48, apabila kisah cinta mereka bermula di tempat yang sinonim dengan kesedihan iaitu di tanah perkuburan.

Jodoh Tak Terduga, Pasangan Temui Cinta Di Tanah Perkuburan

Kisah unik ini bermula apabila kedua-duanya sering berkunjung ke Tanah Perkuburan Senawang, Negeri Sembilan, bagi menziarahi pusara pasangan masing-masing. Marinah kehilangan suaminya akibat kanser pankreas pada Mei tahun lalu, manakala isteri Norhisham meninggal dunia sebulan sebelumnya pada April.

Menurut Marinah, sejak pemergian suaminya, dia hampir setiap hari menziarahi kubur arwah, dan dari situ wujud satu komuniti kecil dalam kalangan waris yang sering berada di tanah perkuburan yang sama.

“Kebetulan, suami saya sekarang juga baru kehilangan isterinya dan selalu datang ke sini. Lama-kelamaan, beberapa waris mengambil inisiatif untuk mewujudkan kumpulan WhatsApp sebagai ruang untuk berhubung dan bertukar maklumat,” katanya.

Melalui kumpulan tersebut, Marinah dan Norhisham mula berkenalan dengan lebih rapat. Selain menziarahi kubur, mereka turut terlibat dalam aktiviti gotong-royong dan majlis tahlil yang dianjurkan bersama.

Bagi Marinah, Norhisham mempunyai banyak persamaan dengan arwah suaminya, dan itu menjadi faktor yang menguatkan perasaannya terhadap lelaki itu. Selepas enam bulan mengenali hati budi masing-masing, Norhisham menyatakan hasrat untuk memperisterikan Marinah, dan mereka akhirnya selamat diijabkabulkan pada November tahun lalu.

Sementara itu, Norhisham sendiri tidak pernah menyangka akan bertemu jodoh buat kali kedua di tanah perkuburan. Menurutnya, pemergian isterinya sebelum ini meninggalkan kekosongan yang mendalam dalam hatinya, dan dia pada awalnya tidak terfikir untuk berkahwin semula.

Namun, takdir mengubah segalanya. Perkenalan dengan Marinah membuka hatinya, dan akhirnya dia mengambil keputusan untuk melamar wanita itu bagi mengisi kekosongan dalam hidupnya.

Kini, meskipun mereka telah sah bergelar suami isteri, rutin menziarahi pusara arwah pasangan masing-masing tetap diteruskan sebagai tanda kasih dan kenangan terhadap insan tersayang yang telah pergi.

Kredit: Berita Harian

 

[fbcomments]