Pengamalan gaya hidup sihat amatlah penting dalam kehidupan seseorang kerana ia akan memberi kesan pada hari tua kelak. Namun, baru-baru ini, seorang lelaki telah berkongsi kisah hidupnya bagaimana kaki sebelahnya dipotong akibat diabetes yang dialami.
Ketagih Teh Tarik/Teh Ais Jadi Punca Kaki Dipotong
Melalui perkongsian video yang dimuat naik oleh @kedidi_kakipalsu di laman TikTok, beliau yang dikenali sebagai Azlan, 55, telah mendedahkan kisah hidupnya secara umum bagaimana beliau boleh menghidap diabetes dan apa punca terbesarnya.
“Zaman abang muda dulu, minum teh tarik boleh cakap pagi petang, siang malam. Teh tarik dengan teh ais itu jelah minuman abang. Sampai dalam kereta teh ais ni memang sentiasa ada. Kalau dah habis sedut, pergi beli tambah. Satu lagi, abang suka minum air tin, tu memang kegemaran abang”, kongsi Azlan yang menerangkan Teh Tarik dan Teh Ais punca dirinya ketagih air manis.
Azlan yang mesra disapa sebagai Abang Lan memberitahu pada umur 30-an kesihatan beliau baik sahaja walaupun tidak menjaga pemakanan, namun kesan mula datang apabila sudah menjejak umur 45 tahun ke atas.

Makan Tak Ikut Waktu Pun Boleh Jadi Punca Diabetes
Menurut Abang Lan lagi, selain makanan atau minuman manis, jadual pemakanan yang tidak terjaga juga boleh menjadi penyumbang kepada penyakit diabetes ini.
“Bukan semestinya sebab kita makan manis saja, tapi tak jaga waktu makan juga boleh menjadi punca penyebab diabetes. Makan ikut sedap waktu kita je, contoh abang dulu, pukul 3 atau 4 pagi kawan call ajak lepak. Abang pun pergi keluar pekena roti canai dengan teh tarik. Nanti apabila usia dah semakin meningkat, mula la jantung atau buah pinggang kita bermasalah”, jelas Abang Lan.

Luka Terkena Paku Menjadi Permulaan Kehilangan Kaki Sebelah
“Abang dah lama sebenarnya kena kencing manis ni, dekat 30 tahun dah. Cuma ada sekali tu kaki kena paku dan luka sikit. Lepas luka itu jadi semakin melarat, isi tu mereput dan berlubang. Doktor cuba operation banyak kali nak selamatkan kaki, tapi akhirnya terpaksa potong juga”, kata Abang Lan yang menjelaskan kakinya terpaksa dibuang selepas mengalami luka akibat terkena paku.
Kredit: TikTok kedidikakipalsu