Pelakon Edika Yusof menafikan dakwaan yang mengatakan beliau pernah mengasari bekas isterinya, Nor Hidayah Yusri sepanjang 22 tahun perkahwinan mereka.

Didakwa Kasari Bekas Isteri, Edika Yusof Pertahan Diri – “Kalau Betul, Kenapa Baru Sekarang?”

Menurut Edika, dakwaan tersebut tidak berasas memandangkan tiada laporan polis pernah dibuat oleh bekas isterinya sepanjang tempoh mereka hidup bersama. Beliau juga mempersoalkan tindakan Nor Hidayah yang hanya kini memilih untuk mendedahkan perkara tersebut selepas mereka berpisah.

“Kalau betul berlaku keganasan rumah tangga, mengapa tidak laporkan sejak dahulu? Dia mempunyai tiga abang dan tiga adik lelaki, malah anak-anak kami juga sudah dewasa. Tidak mungkin semua berdiam diri jika perkara itu benar berlaku,” katanya kepada media.

Edika, 56, berkata demikian selepas pengesahan lafaz cerai bersama Nor Hidayah di Mahkamah Rendah Syariah, semalam.

Mengulas lanjut, Edika memaklumkan bahawa beliau memilih untuk menamatkan perkahwinan mereka secara baik bagi mengelakkan konflik berpanjangan yang boleh memalukan anak-anak mereka.

“Saya bersetuju dengan permintaan untuk bercerai kerana tidak mahu perkara ini berlarutan. Fokus saya sekarang adalah untuk menjaga air muka anak-anak. Tidak perlu berbalah mengenai hal ini lagi. Biarlah masing-masing muhasabah diri,” ujarnya.

Beliau turut menasihatkan bekas isterinya agar mendapatkan kaunseling sekiranya diperlukan bagi menghadapi fasa kehidupan selepas penceraian.

Dalam pada itu, Edika turut melahirkan rasa syukur apabila menerima sokongan moral daripada rakan-rakan terdekat susulan dakwaan yang timbul.

Sebelum ini, Nor Hidayah mendakwa dirinya telah dikasari oleh Edika sejak awal perkahwinan dan perkara itu menjadi punca kepada perceraian yang berlaku semalam.

Kredit: Kosmo!

 

 

[fbcomments]