Seorang guru di Sabah berkongsi kisah menyayat hati mengenai seorang pelajar sekolah yang hadir dengan kasut usang dan rosak, yang mana keadaannya telah mencuri perhatian ramai. Pelajar tersebut sanggup bersekolah walaupun dalam keadaan serba kekurangan, dengan kasut yang koyak, lusuh, dan sebahagian tapaknya telah tertanggal.
![]()
Video di bawah:
https://www.facebook.com/share/v/EHxFWQPvfK4ejikA/
Terpaksa Pakai Kasut Usang Kerana Tiada Duit Untuk Beli Baru
Dalam sebuah video yang dikongsi oleh guru Unit Bimbingan dan Kaunseling, Cikgu Jumat Mat Salleh di laman Facebook, beliau menceritakan detik pertemuan dengan pelajar tersebut semasa bertugas di pintu pagar sekolah. Ketika itu, beliau ternampak seorang pelajar lelaki hadir dengan kasut yang sangat kotor dan kelihatan tidak terurus.
Cikgu Jumat pada awalnya merasa tidak senang melihat keadaan pelajar tersebut dan ingin menegurnya kerana memakai kasut yang kotor. Namun, perasaan itu berubah apabila pelajar tersebut memberikan penjelasan mengenai keadaan sebenar kasutnya.
“Saya bertanya kepada pelajar itu kenapa kasutnya kotor dan sama ada dia tidak mencucinya. Dengan penuh rasa takut, dia menjawab, ‘Jika saya cuci kasut ini, tapaknya akan tertanggal dan saya tak boleh memakainya lagi.'”
![]()
Jawapan itu benar-benar menyentuh hati Cikgu Jumat, yang segera menyedari kesukaran hidup yang dihadapi oleh pelajar tersebut. Beliau bersama beberapa guru lain kemudian membawa pelajar berkenaan ke pekan Kunak untuk membeli sepasang kasut baru dan stokin sebagai bantuan kepada pelajar tersebut.
Pelajar tersebut turut berkongsi bahawa ini merupakan kali kedua dalam hidupnya dia dapat pergi ke pekan, satu kenyataan yang membayangkan kekangan ekonomi yang dihadapi oleh keluarganya. Dalam situasi serba kekurangan itu, dia masih bersemangat untuk hadir ke sekolah dan menuntut ilmu.
Sebelum berpisah, Cikgu Jumat sempat memberikan kata-kata semangat kepada pelajar tersebut agar terus berusaha dalam pelajaran.
“Belajarlah bersungguh-sungguh supaya satu hari nanti kamu dapat mengubah nasib diri dan keluarga,” pesan beliau dengan penuh harapan.
Kredit: Facebook Cikgu Jumat