Dua kes baharu Novel Koronavirus (2019-nCoV) dikesan di negara ini, ujar Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad. Kes pertama melibatkan seorang warga China berusia 63 tahun dan seorang rakyat Malaysia berusia 41 tahun dari Selangor.
Beliau berkata, rakyat Malaysia yang dijangkiti koronavirus itu mempunyai sejarah perjalanan ke Singapura pada 16 hingga 23 Januari lalu dan mula mendapat gejala pada 29 Januari dan mendapatkan rawatan ke sebuah hospital swasta.
Menghadiri mesyuarat di Singapura
Difahamkan mangsa telah menghadiri mesyuarat yang turut dihadiri beberapa delegasi antarabangsa termasuk dari China.
Selepas pulang ke Malaysia, mangsa mengalami batuk dan demam. Dia kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh pada 2 Februari lalu dan hasil ujian yang dilakukan telah disahkan positif koronavirus semalam. Keluarga terdekat mangsa juga dalam pemantauan.
Ia menjadikan keseluruhan kes positif Koronavirus di Malaysia sebanyak 10 kes melibatkan seorang rakyat Malaysia dan sembilan warga China.