Seorang jurujual aksesori kereta dijatuhi hukuman penjara selama sebulan dan denda RM12,000 oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur selepas mengaku bersalah atas kesalahan memandu secara melulu hingga menyebabkan kecederaan kepada sepasang suami isteri.
![]()
Lelaki Dipenjara Sebulan, Denda RM12,000 Kerana Pandu Secara Melulu Hingga Cederakan Suami Isteri
Tertuduh, K. Darmaraju, 32, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni. Dia didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu secara berbahaya.
Berdasarkan fakta kes, kejadian berlaku pada 10 Mei lalu di Lebuhraya PLUS, arah ke pusat bandar berhampiran Plaza Tol Duta, apabila trak pikap jenis Nissan Navara yang dipandu tertuduh melanggar motosikal dinaiki pasangan suami isteri berkenaan.
![]()

Tindakan tertuduh itu menyebabkan kedua-dua mangsa mengalami kecederaan, dan insiden berkenaan turut dirakam serta tular di media sosial mencetuskan kemarahan netizen.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap tertuduh bermula dari tarikh tangkapan iaitu pada 11 Mei. Selain itu, beliau turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun bermula daripada tarikh sabitan.
Kredit: Buletin TV3