Semalam tular sebuah laporan yang dikeluarkan oleh Edisi Siasat di aplikasi Telegram berkaitan kes kematian Allahyarham Zayn Rayyan dimana ia mendedahkan bahawa pembunuh sebenar kanak-kanak tersebut adalah ibu bapanya sendiri.

Peguam Pertimbang Tuntut Perlindungan Tambahan Untuk Ibu Bapa Zayn

Menerusi laporan Malaysia Kini, Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa Zayn iaitu Zaim Ikhwan Zahari, tidak menolak kemungkinan untuk meminta perlindungan tambahan daripada pihak polis terhadap anak guamnya yang kini dibebaskan dengan jaminan.

“Setakat ini kami memantau situasi, dan jika keadaan menjadi serius dengan kemungkinan bahaya kepada klien saya, saya akan berbincang (lebih lanjut) dengan klien saya,” katanya.

Malah peguam yang mewakili Ismanira (ibu Zayn) iaitu Mahmud Jumaat turut memaklumkan bahawa dia akan mempertimbangkan bagi meminta perlindungan tambahan demi keselamatan anak guamnya.

“Saya bukan sahaja bimbang tentang keselamatan (fizikal) dia, tetapi juga tekanan mental. Dia dimalukan sedemikian rupa, sedangkan kita tidak tahu kesahihan kertas siasatan yang bocor itu,” ujarnya.

Mahmud menyatakan bahawa sebarang spekulasi mengenai kes tersebut selepas anak guamnya didakwa boleh dianggap menghina mahkamah atau subjudis. Menurutnya, membuat andaian atau kenyataan yang tidak berasas boleh menjejaskan keadilan dan proses perundangan yang sedang berlangsung.

Polis Siasat Penyebaran Maklumat Di Telegram Edisi Siasat

Difahamkan, pihak polis juga akan bercampur tangan untuk menyiasat pihak yang menyebarkan maklumat berhubung kejadian yang kian tular di media sosial melalui aplikasi Telegram Edisi Siasat.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, JSJ Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain memaklumkan bahawa pihaknya juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, MCMC bagi mengesan mereka yang terlibat.

“Ia adalah perkara yang perlu dilakukan, samada pihak MCMC berkemampuan itu saya tidak pasti. Kami akan siasat apa yang telah dikeluarkan dalam konteks ES itu dan ingin saya katakan sekali lagi segala perkara yang melibatkan siasatan ini harus datang dari pihak yang rasmi.

“Ini adalah tindakan tidak bertanggungjawab oleh sesiapa sahaja yang kita kesan kemudian, kerana dia boleh mengganggu perjalanan perbicaraan itu.

“Kita akan menyiasat sepenuhnya. Sesiapa yang kita kenalpasti, saya tidak teragak-agak langsung kerana segala penat jerih rakan-rakan boleh tergugat dengan perkara itu,” tegasnya.

Beliau juga menegaskan bahawa tindakan yang tidak bertanggungjawab tersebut boleh memberi kesan kepada perbicaraan bagi menegakkan keadilan terhadap Allahyarham Zayn Rayyan, serta mengganggu ketenteraman ahli keluarga yang lain, terutamanya ibu dan bapa Zayn.

“Seperti yang saya katakan semalam, bahagian kita dalam menyiasat kes itu telah diakhiri dengan pendakwaan ibu bapa Zayn Rayyan.

“Sekiranya ada pendedahan baharu semasa prosiding perbicaraan dan Timbalan Pendakwa Raya mengarahkan kami menyiasat lebih lanjut, kami akan berbuat demikian,” ujarnya di akhir kata.

Kredit: Malaysia Kini, Buletin TV3

[fbcomments]