Baru-baru ini, tular sebuah video yang memaparkan seorang lelaki bertindak mengasari seorang wanita berbangsa Cina sehingga mendapat perhatian meluas di media sosial.
Susulan itu, timbul pelbagai persoalan mengenai punca lelaki berkenaan bertindak sedemikian, sebelum seorang saksi tampil berkongsi dakwaan bahawa wanita terbabit terlebih dahulu mengasari dua orang anak lelaki tersebut di pusat beli-belah Ombak KLCC, Kuala Lumpur.
![]()
Wanita Didakwa Menampar Rakan Saksi, Dua Kanak-Kanak Turut Dikasari
Menerusi perkongsian di Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Sakinah Zuhairi mendakwa kejadian bermula apabila rakannya yang memakai tudung berwarna merah hati secara tiba-tiba ditampar oleh seorang wanita berbaju kuning ketika mereka sedang menuju ke sebuah restoran.
Terkejut dengan tindakan tersebut, mereka kemudian mendapatkan bantuan pengawal keselamatan sebelum mengekori wanita berkenaan. Bagaimanapun, keadaan menjadi lebih tegang apabila wanita sama didakwa menolak seorang kanak-kanak lelaki dari arah belakang berhampiran eskalator sehingga menyebabkannya terjatuh.
![]()
Menurut Sakinah lagi, kanak-kanak lelaki tersebut kemudian menghampiri wanita berkenaan untuk mendapatkan penjelasan. Namun, wanita itu didakwa bertindak menolak kepala seorang lagi kanak-kanak berusia kira-kira dua tahun yang ketika itu berada di dalam kereta sorong sehingga menyebabkannya terjatuh.
Dalam perkembangan sama, seorang lagi pengguna Threads turut berkongsi tangkap layar perbualan WhatsApp dengan individu yang dipercayai lelaki terbabit. Menerusi perbualan itu, lelaki berkenaan mendakwa tindakan wanita tersebut menyebabkan anak lelakinya ditolak, manakala anak perempuannya pula ditampar.
“Cina tu tolak anak laki aku, lempang anak perempuan aku,” katanya dalam mesej berkenaan.
![]()
Susulan pendedahan tersebut, ramai pengguna media sosial mula menyuarakan simpati terhadap lelaki berkenaan dan keluarganya, terutama selepas mengetahui dakwaan mengenai kejadian yang melibatkan dua kanak-kanak terbabit.
Bagaimanapun, dakwaan berhubung kejadian itu berdasarkan perkongsian saksi dan tangkap layar perbualan yang tular di media sosial. Keseluruhan kronologi serta punca sebenar kekecohan tersebut masih belum mendapat pengesahan rasmi pihak berkuasa.
Kredit: Thread azlansaimi