fbpx

Poligami sering menjadi topik perbincangan yang penuh kontroversi, namun kisah Amirul Hakimi ZH membuktikan bahawa ia boleh dilaksanakan dengan harmoni jika disertai dengan kefahaman dan kerjasama yang baik.

Menerusi hantaran di Facebook, Amirul berkongsi detik bahagia pernikahannya dengan isteri ketiga, yang disempurnakan dengan bantuan penuh daripada isteri pertama dan kedua. Kedua-dua mereka bukan sahaja merestui, malah turut terlibat secara langsung dalam perancangan majlis tersebut.

Lelaki Selamat Kahwin Satu Lagi, Isteri Pertama & Kedua Siap Bantu Urus Majlis

Menurut Amirul, isteri pertamanya bertanggungjawab sebagai perancang majlis, manakala isteri kedua menguruskan penyediaan cenderahati. Dia mengucapkan terima kasih atas usaha dan pengorbanan mereka, menjadikan majlis itu lebih bermakna.

“Terima kasih buat isteri² saya, isteri pertama dan isteri kedua. Diorang banyak berusaha untuk menjayakan majlis ini. Sorang jadi wedding planner, sorang jadi goodies packer. Baju pengantin, decoration, diorang lah yang uruskan. Barakallahu fikum, “tulisnya.

Amirul yang memulakan kehidupan berpoligami sejak tahun 2021 mengakui bahawa perjalanan ini bukanlah mudah. Namun, dia bersyukur kerana dipertemukan dengan komuniti poligami yang positif, membantunya memahami tanggungjawab dan cabaran yang datang bersama perkahwinan sebegini.

Dia turut menekankan bahawa sama ada dalam monogami atau poligami, setiap perkahwinan pasti ada ujian. Baginya, ilmu dan persediaan, terutamanya dari segi kewangan dan pengurusan emosi adalah kunci untuk memastikan keharmonian rumah tangga.

Perkongsian Amirul mendapat pelbagai reaksi daripada netizen. Ada yang memuji kematangan serta pendekatan harmoni yang ditunjukkan olehnya dan keluarganya. Namun, ada juga yang menekankan kepentingan memastikan kewangan yang kukuh bagi menjaga kebajikan isteri-isteri.

Amirul turut berkongsi panduan untuk lelaki yang ingin berpoligami, mengingatkan bahawa keadilan, komunikasi yang baik, dan tanggungjawab adalah asas utama untuk menjayakan perkahwinan seperti ini.

Di penghujung hantaran, Amirul menyatakan bahawa perkahwinan, dalam apa jua bentuk, memerlukan usaha yang berterusan untuk mengekalkan kebahagiaan dan keharmonian bersama pasangan.

Kredit: FB Amirul Hakimi ZH

 

[fbcomments]