Pelakon Zul Ariffin meluahkan rasa syukur apabila dijemput sebagai tetamu Allah bagi mengerjakan ibadah haji tahun ini.
Pemilik nama penuh Zulkifli Ariffin itu difahamkan akan berangkat menunaikan haji pada Jun nanti. Dia yang sepatutnya berangkat lebih awal terpaksa menundakan tarikh kepada 10 Jun demi menyelesaikan baki penggambaran.
Akui tidak gementar
Zul juga mengakui tidak berasa gementar sebaliknya sedang sibuk menguruskan beberapa perkara sebelum bertolak.
“Alhamdulillah tiada rasa rasa gementar tapi ada beberapa perkara perlu saya siapkan terlebih dahulu seperti menghadiri kursus haji. Kena ‘laju’ sebab saya ada lebih kurang seminggu untuk bersedia sebelum bertolak.”
Tawaran haji umpama durian runtuh!
Zul tidak pasti tawaran mengerjakan haji itu menerusi cara VIP atau sebaliknya. Namun, tawaran itu sememangnya merupakan durian runtuh buatnya kerana dia telah lama berniat untuk berpuasa dan raya di sana, tapi tidak berkesempatan. Peluang menunaikan haji diangggap sebagai sebuah rezeki yang tak dijangka.
“Saya rasa (mengerjakan haji cara VIP). Saya dapat jemputan untuk pergi haji, jadi saya pergi bersama-sama tim saya. Saya tak pergi melalui Tabung Haji.
“Saya dah pergi tiga kali buat umrah sejak Ogos lepas, kalau ikut perancangan sebelum ini saya nak puasa dan raya di sana tapi sebab penggambaran tak dapat.’
“Tapi dapat pula pergi haji, cantiklah saya anggap rezeki,” katanya lagi.
Zul juga telah menunda beberapa projek kerana tidak mahu melepaskan peluang keemasan itu. Dia bagaimanapun mengakui berasa risau dengan cuaca di sana yang dikhabarkan agak panas disamping lautan manusia yang bakal mengerjakan ibadah haji.
“Kita nak kena pergi awal, dengan ramai orang dan musim panas. Jadi saya terpaksa tunda projek yang kerana bimbang tak dapat beri komitmen.
“Saya teruja nak mengerjakan haji, cuma lautan manusia itu tak tengok lagi sebab musim haji selalu kita tengok dalam televisyen ini kita lalui pula dengan musim panas,” kongsinya.
Terdahulu, Zul Ariffin memberi kenyataan bahawa dia merancang untuk berhijrah dan menetap di Makkah atas urusan perniagaan selain berasa tenang di sana.
Sumber: mStar