fbpx

Mencari pelbagai jenis pekerjaan tidak kira di usia tua atau muda pada era kini telah menjadi satu tanggungjawab besar bagi setiap individu demi mendapatkan rezeki dan pendapatan yang halal. Namun, pelbagai pekerjaan itu jugalah terdapat pelbagai cabaran yang bakal dilalui oleh seseorang.

Berdiri Lama Depan Sinki, Rupanya Minum Air Paip Sebab Kehausan

Baru-baru ini seorang lelaki yang juga merupakan seorang guru telah berkongsi kisah di laman Facebook miliknya berkenaan beliau terserempak dengan seorang pekerja pembersihan ketika berada di kedai dobi layan diri untuk mencuci pakaian. Namun, gelagat yang ditunjukkan oleh individu tersebut mencetuskan tanda tanya apabila dia berdiri lama di sinki premis tersebut.

“Masa dobi baju saya perasan makcik cleaner ni kat sinki dobi. Lama juga dia kat situ. Saya tengok dia dok kumur-kumur. Nak ambil air sembahyang ke makcik ni? Saya fikir. Tengok punya tengok baru saya perasan, rupanya dia dok minum air paip. Allahuakbar. Mungkin dah terlalu haus kot”, tulis lelaki ini yang dikenali sebagai Muhammad Yusof Sulehin di Facebook dengan nada sebak.

Walaupun Sudah Lanjut Usia, Tetapi Masih Punya Kudrat Yang Kuat

Menurut Muhammad Yusof lagi, selepas wanita tersebut selesai minum air paip, dia kemudiannya sambung meneruskan tugasnya menyapu sampah dalam keadaan cuaca panas terik. Walaupun kelihatan sudah lanjut usia, namun kudratnya masih kuat seperti orang muda.

“Cuaca punyalah panas begini pun dia tetap sapu sampah. Pada usia macam makcik ni sepatutnya berehat kat rumah tapi masih mengerah kudrat menyapu di tengah-tengah panas. Mungkin ada anak-anak yang masih menunggu sesuap nasi di rumah”, ujarnya lagi.

Beri Sedikit Barang Dapur Kepada Mana-Mana Asnaf Yang Dijumpai

Tanpa melengahkan masa, Muhammad Yusof terus bergegas ke keretanya untuk mengambil sesuatu untuk diberikan kepada wanita tersebut.

“Saya terus ke kereta ambil barang dapur. Memang ke mana-mana saya standby dua tiga plastik barang dapur untuk saya bagi pada mana-mana asnaf yang saya jumpa. Saya terus bagi barang kepada makcik tu. Dia senyum dan ucap terima kasih sambil tadah tangan doa kat saya. Lepas tu dia sambung sapu sampah tengah panas”, luahnya lagi.

Dalam kesusahan wanita itu, Muhammad Yusof dapat melihat senyuman pekerja pembersihan tersebut yang menggambarkan kegembiraannya. “Apa pun, moga Allah murahkan rezeki makcik ni seluas lautan. Besar pahala makcik buang segala sampah, paku, kaca yang ada kat jalan”, tulisnya di ayat terakhir.

Kredit: Facebook Muhammad Yusof

[fbcomments]