Setelah melalui pelbagai cabaran dalam usaha mendapatkan zuriat, personaliti media sosial popular, Fila Amir akhirnya dikurniakan cahaya mata sulung pada Rabu.
Khabar gembira itu dikongsi sendiri oleh Fila menerusi satu hantaran di laman Instagram miliknya.
![]()
Fila Amir Timang Bayi Perempuan Selepas Lima Tahun Menanti
Dalam perkongsian tersebut, Fila memuat naik beberapa keping foto bersama suaminya, Adama Mohamed Camara, dan bayi perempuan mereka yang baru dilahirkan. Meskipun belum mendedahkan nama puteri sulung mereka, momen penuh bermakna itu nyata menyentuh hati ramai pengikut.
“Assalamualaikum, akhirnya kami bergelar papa dan mama,” tulis Fila ringkas dalam kapsyen.
Kelahiran anak ini menjadi satu keajaiban buat pasangan berkenaan yang sebelum ini terpaksa menempuh pelbagai ujian dalam usaha mendapatkan zuriat. Difahamkan, Fila berjaya hamil selepas menjalani rawatan persenyawaan in vitro (IVF) selama lima tahun. Malah, satu daripada cabaran terbesar yang dihadapinya termasuk pembuangan tiub fallopio sebelum ini.
![]()
Menjengah ke ruangan komen, ribuan ucapan tahniah membanjiri perkongsian tersebut, termasuk daripada rakan artis dan pengikut setia yang mengikuti perjalanan hidup Fila dan Adama sejak awal lagi. Ramai meluahkan rasa syukur dan tumpang gembira atas rezeki yang dikurniakan kepada pasangan ini.
Untuk rekod, Fila atau nama penuhnya Nurafilah Amir Rusdi telah mendirikan rumah tangga dengan Adama Mohamed Camara yang berasal dari Guinea. Mereka sering menjadi perhatian ramai kerana sering berkongsi detik-detik manis bersama keluarga mentua di Afrika Barat, sekali gus mencuri perhatian warga maya yang kagum dengan penerimaan hangat masyarakat di sana terhadap Fila.
Kredit: Instagram filaamir