Selepas beberapa bulan anak perempuannya, Marissa, mendirikan rumah tangga bersama Ahmad Aslam, penyanyi dan pelakon Abby Abadi mengakui dirinya berasa seolah-olah ‘kehilangan’ anak yang selama ini dibesarkan dengan penuh kasih sayang.

@thehazzzzzzzs

Komen Abby Tentang Aslam

♬ original sound – ٥ – ٥

“Macam Hilang Marissa” – Abby Abadi Luah Perasaan Selepas Anak Kahwin Tanpa Restu

Perasaan itu diluahkan Abby atau nama penuhnya Arbaiyah Abdul Manan, ketika melakukan siaran langsung di TikTok baru-baru ini. Dalam perkongsian tersebut, beliau meluahkan rasa kecewa apabila Aslam mengambil keputusan untuk menikahi Marissa tanpa berjumpa atau meminta restu terlebih dahulu daripadanya.

“Saya jaga Marissa dari kecil sampai besar, didik, beri makan dan pelajaran. Tiba-tiba dia datang dan terus ambil anak saya begitu sahaja,” katanya dengan nada sebak.

Lebih meruntun hati, Abby menyatakan bahawa sejak perkahwinan itu berlangsung, hubungan antara dia dan anak perempuannya seolah-olah renggang, seakan tidak seperti dahulu lagi.

Dalam siaran langsung yang sama, Abby turut membaca permohonan maaf yang dimuat naik oleh Aslam melalui aplikasi Threads. Namun begitu, beliau menyifatkan tindakan itu tidak ikhlas dan langsung tidak menyelesaikan apa-apa kerana dilakukan tanpa pertemuan secara bersemuka.

“Tahu pula rasa bersalah sekarang. Tapi masa Marissa kena kecam dulu, dia diam. Sekarang minta maaf pun cuma dalam Threads. Itu tak memberi makna langsung,” luahnya lagi.

Abby turut mengajak orang ramai yang menonton siaran langsung tersebut untuk meninggalkan komen meminta Aslam datang bertemunya secara berdepan. Katanya, sehingga ke hari ini, beliau masih belum pernah bercakap secara langsung dengan menantunya itu, dan tiada sebarang permohonan maaf yang dibuat secara peribadi.

Mengulas mengenai desakan pihak tertentu agar beliau memohon maaf kepada madu Marissa, iaitu isteri pertama Aslam, Abby tampil mempersoalkan kenapa dia yang perlu berbuat demikian sedangkan tiada sebarang salah faham secara langsung berlaku antara mereka.

Sebagai makluman, Marissa dan Aslam sah bergelar suami isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023. Sebelum itu, Aslam telah mendirikan rumah tangga bersama Umisya Mazlan pada Julai 2020 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan tiga cahaya mata termasuk seorang bayi perempuan yang baru berusia dua bulan.

Kredit: TikTok thehazzzzzzzs

 

 

 

 

[fbcomments]