Dzahira Thalita Zahra, atau lebih dikenali sebagai Thalita iaitu anak perempuan kepada pelawak Shuib dan arwah Siti Sarah, kini menjadi perhatian selepas menunjukkan bakat nyanyiannya di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Mewarisi suara emas ibunya, Thalita berjaya mencuri hati ramai apabila tampil berani menyanyi di khalayak ramai.
Thalita Akui Dipulaukan Rakan Sekolah Selepas Popular
Namun, di sebalik pujian dan sokongan orang ramai, Thalita, yang lebih mesra disapa sebagai Dekta, berkongsi cabaran yang dihadapinya apabila mendapati dirinya dipulaukan oleh segelintir rakan sekolah.
Menurut Dekta, dia tidak mengetahui punca sebenar situasi itu berlaku, namun menganggap ia mungkin disebabkan cemburu terhadap perubahan dalam hidupnya.
“Memang saya kena pulau dengan beberapa kawan sekolah. Saya pun tak tahu kenapa, mungkin ada yang cemburu. Tapi saya tak kisah sangat. Apa pun, saya tetap Thalita yang sama,” ujar Dekta, yang kini berusia 13 tahun.
Tambahnya lagi, dia mula menyedari perkara tersebut selepas kemunculannya di Bukit Bintang menjadi tular.
“Selepas persembahan itu, di sekolah, saya perasan ada yang menjauhkan diri dan bercakap buruk tentang saya. Tapi saya harap perkara ini tak berpanjangan. Saya cuma nak jadi penyanyi, itu sahaja.”
Dekta turut berkongsi pengalaman emosionalnya semasa membuat persembahan di Bukit Bintang, di mana dia menangis sewaktu menyanyikan lagu Kesetiaan, salah satu lagu kegemaran arwah ibunya.
“Bila tengok ramai yang sanggup datang untuk dengar saya menyanyi, hati saya jadi sayu. Tambahan pula, saya menyanyikan lagu ibu. Itu buatkan saya terus menangis,” katanya.
Walaupun berdepan cabaran seperti dipulaukan, Thalita tetap bersyukur kerana diberi peluang untuk berkongsi bakat nyanyiannya dan terus menghargai sokongan yang diterima.
Kredit: Kosmo!