Pelakon Enot dikejarkan ke Hospital Besar Melaka apabila beliau dikatakan tidak boleh berjalan selepas jatuh dalam bilik air di kediamannya pada petang Isnin.
Alliza Abdullah atau lebih dikenali sebagai Enot, 44 berkata pada awalnya dia tidak menyangka perkara itu serius dan hanya ke klinik berdekatan.
Namun, kesakitan yang dialaminya berpanjangan dan pelakon itu terus menghubungi pihak ambulans.
“Saya dan kejadian jatuh bilik air ini dah biasa berlaku, cuma kali ini kesannya agak teruk sikit sebab terkena bahagian lutut.”
Pemeriksaan doktor mendapati kaki kanannya patah selain tempurung lututnya retak. Pemeriksaan lanjut juga mendapati tulang belakannya mempunyai masalah, dan separuh kakinya disimen.
Sewaktu dihubungi, pelakon dari siri komedi Mat Despatch menerangkan rawatan yang diterimanya.
“Doktor periksa tulang termasuk tulang belakang sebab saya memang ada masalah di bahagian itu sejak sekian lama. Sekarang ini doktor hanya simen separuh kaki pada bahagian yang patah.”
Enot sekarang sedang berehat di rumahnya di Melaka dan jika kesakitannya berpanjangan, beliau berkemungkinanan akan menjalani pembedahan.