Seorang pemilik butik pakaian, Nor Hamidi Mohd Nazir tampil meringankan beban dengan memberi minyak petrol secara percuma kepada orang ramai di stesen minyak Petron Kok Lanas, Kota Bharu, semalam.
Lebih mesra dipanggil Abe Mat, sebanyak 200 kupon diberikan kepada penunggang motosikal yang melalui kawasan sekitarnya selepas berbincang dengan pemilik stesen minyak tersebut yang menelan kos hampir RM2,000.
Menerusi laporan Harian Metro, program sedekah jariah itu adalah kali pertama diadakan oleh lelaki berusia 31 tahun ini. Malah beliau turut berhasrat ingin menjayakan lagi sekiranya mempunyai lebihan rezeki.
Menurut Abe Mat, dia menghasilkan beberapa video pendek ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mendapat review di media sosial yang tinggi sehingga memperoleh bayaran RM30,000.
Hasil daripada bayaran yang saya peroleh ini, selain daripada menyumbang minyak petrol percuma, ia turut digunakan dengan memberi sumbangan kepada asnaf yang memerlukan serta membelanja pengunjung yang makan di restoran atau kedai makan di serata daerah.
Apa yang saya lakukan ini adalah datang dari hati yang ikhlas untuk menzahirkan rasa terima kasih kepada masyarakat yang banyak memberi sokongan dan bukannya untuk mencari publisiti atau menjadi popular.