fbpx

“Hanya tinggal dua ekor ikan selayang untuk makan kami malam ini, esok lusa tak tahu mana lagi nak cari,” luah Emilia Abdullah dari Kampung Tok Ku, Sering, Kota Bharu.

Pencari besi buruk

Emilia yang bekerja sebagai pencari besi buruk dan barang terpakai adalah antara individu yang sangat terjejas sepanjang tempoh PKP kerana terputus mata pencariannya.

Emilia berkata, sebelum PKP, hidup mereka sudah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang kerana secara purata dia hanya memperoleh pendapatan sekitar RM15 sehari.

“Saya akan menunggang motosikal roda tiga di sekitar Sering, untuk mencari besi buruk dan barang terpakai di tong sampah sebelum dibawa pulang untuk dipilih dan dijual ke kedai besi buruk.

Tanggung anak yang sakit terlantar

Dia yang menetap di rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Kota Bharu, bersama suami berusia 48 tahun dan dua anak usia 12 tahun serta 20 tahun yang terlantar akibat saraf lemah sejak tiga tahun lalu.

“Suami yang sakit darah tinggi dan kencing manis menjaga anak, Nik Mohd Firdaus yang terlantar di rumah.

“Apabila rakyat dilarang keluar (PKP), saya pun tidak berani untuk keluar mencari besi buruk kerana takut ditangkap,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.

Mengharapkan ihsan jiran

Emilia berkata, sepanjang PKP berlangsung, mereka hanya mengharapkan ihsan jiran tetangga dan saudara mara yang menghulurkan bantuan makanan untuk kelangsungan hidup mereka empat beranak.

“Biasanya sarapan kami hanya makan biskut atau lempeng sahaja sekadar mengalas perut namun bagi anak yang sakit terlantar, keperluan makanannya tidak boleh terlalu dicatu kerana fizikalnya kini pun sudah sangat kurus.

“Selain untuk makan seharian, kami juga buntu bagaimana untuk mencari wang bagi pembelian ubat dan lampin pakai buang untuk anak yang terlantar sakit.

[fbcomments]