Tiga individu yang pernah terlibat dalam sebuah pementasan teater pada 2018 telah ditahan polis bagi membantu siasatan selepas rakaman persembahan berkenaan kembali tular di media sosial. Rakaman tersebut didakwa mempersendakan Rukun Negara serta menyentuh sensitiviti kaum.
![]()
Tiga Pelakon Ditahan Bantu Siasatan Pementasan Teater Didakwa Sentuh Sensitiviti Kaum
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki dan dua wanita tempatan berusia antara 28 hingga 47 tahun. Ketiga-tiga mereka ditahan di Selangor dan Johor pada Isnin lalu untuk dirakam keterangan sebelum dibebaskan dengan jaminan polis selepas proses berkenaan selesai.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap telefon bimbit dan gajet milik ketiga-tiga individu terbabit juga tidak menemukan sebarang kandungan berkaitan pementasan berkenaan.
Daripada lima pelakon yang dikenal pasti terlibat dalam persembahan itu, seorang telah meninggal dunia manakala seorang lagi dipercayai berada di United Kingdom berdasarkan semakan rekod imigresen.
Siasatan polis turut mendapati rakaman yang kembali mendapat perhatian itu sebenarnya merujuk kepada sebuah pementasan yang diadakan secara tertutup di sebuah pusat seni persembahan di Pulau Pinang pada 2018. Pada ketika itu, rakaman berkenaan tidak menjadi tular dan pihak polis juga tidak menerima sebarang laporan berkaitan persembahan tersebut.
![]()
Kumar menjelaskan, program berkenaan melibatkan beberapa kumpulan yang diberikan masa antara 10 hingga 15 minit untuk membuat persembahan. Persembahan yang diadakan kemudiannya dinilai sebelum pemilihan dibuat bagi menentukan persembahan terbaik.
Pusat seni persembahan yang menjadi lokasi acara itu difahamkan kini sudah tidak beroperasi. Sementara itu, individu yang bertindak sebagai pengarah pementasan berkenaan merupakan warga United Kingdom yang telah meninggalkan Malaysia dan dipercayai kini berada di negara tersebut.
Dalam perkembangan sama, polis sedang berusaha mengenal pasti individu yang memuat naik atau menularkan semula rakaman berkenaan. Antara tindakan yang diambil termasuk meneliti alamat Protokol Internet (IP) yang mempunyai kaitan dengan penyebaran rakaman tersebut.
Kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Kredit: Berita Harian