fbpx

Di sebalik gaji sederhana sebagai seorang pengawal keselamatan, Che Hanapi Che Hassan, 44, dari Kampung Padang Rumbia, Pekan, membuktikan bahawa kasih sayang dan tanggungjawab mampu mengatasi segala cabaran.

Dengan pendapatan sekitar RM1,500 sebulan, beliau tidak hanya menyara isteri dan tiga anak kandungnya tetapi turut menjaga enam anak saudara yatim piatu sejak 2007.

Pak Guard Besarkan 6 Orang Anak Yatim Piatu Dengan Ikhlas

Menurut Che Hanapi, kebahagiaan keluarganya bukan terletak pada jumlah wang tetapi pada kepercayaan terhadap rezeki Allah SWT.

“Walaupun gaji saya tidak besar, Alhamdulillah rezeki sentiasa mencukupi. Saya dan isteri sentiasa bersyukur kerana diberi peluang membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang,” ujarnya.

Keputusan menjaga enam anak saudara yatim piatu ini dibuat bersama isterinya, Kamilah Yaakob, 48, demi memastikan mereka tidak terpisah. 

“Sebelum ini, isteri saya sudah menjaga tiga anak saudara yang kehilangan ibu bapa. Kemudian pada 2011, kami mengambil tiga lagi supaya mereka dapat tinggal bersama. Saya tak sanggup melihat mereka berpecah kerana itu pasti meruntuhkan hubungan kekeluargaan mereka,” jelasnya.

Kini, pasangan ini tinggal bersama tiga daripada enam anak saudara tersebut, manakala tiga lagi sudah membina kehidupan sendiri. Seorang daripadanya telah berkahwin dan memberi mereka seorang cucu, manakala dua lagi bekerja di Bentong, Pahang dan Klang, Selangor.

“Melihat mereka membesar di depan mata adalah satu nikmat yang tak terhingga. Walaupun kami tinggal di rumah asnaf, kami tetap bersyukur kerana mampu memberikan pendidikan dan kasih sayang kepada mereka,” tambah Che Hanapi.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]