Pada beberapa bulan yang lepas, isteri kepada penyanyi terkenal Mawi iaitu Ekin Rahmat pernah meluahkan ketidakpuasan hatinya apabila beliau mendakwa harga yang dikenakan sebuah kedai makan di medan selera Tepian Tebrau caj terlampau mahal sehingga mencecah RM1,260.

Baru-baru ini Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dimaklumkan telah mengenakan kompaun terhadap peniaga kedai tersebut yang berjumlah RM1,500 selepas tular makanan yang dijual terlampau mahal.

Peniaga Dikompaun

Menurut sumber Sinar Harian, Timbalan Menteri Fuziah Salleh memaklumkan bahawa kompaun tersebut dikenakan selepas pihaknya melengkapkan dua kertas siasatan terhadap peniaga makanan laut terbabit.

“Peniaga ini dikompaun kerana kesalahan tidak meletakkan tanda harga dan terdapat unsur pencatutan iaitu menjual pada harga tidak munasabah. Peniaga terbabit telah dikenakan kompaun iaitu RM500 kerana tidak meletakkan tanda harga dan RM1,000 kerana pencatutan,” jelasnya.

Peniaga Perlu Berniaga Dengan Telus

Mengulas lanjut, Fuziah turut berkata apa yang berlaku itu harus dijadikan pengajaran buat kedua-dua pihak iaitu peniaga harus berniaga dengan telus, manakala pelanggan perlu mengetahui harga produk atau makanan yang dibeli mereka sebelum bertindak membeli sesuatu barang tanpa memeriksa harganya. Beliau juga menegaskan pelanggan mempunyai hak untuk mengetahui harga sebelum makan atau pun membuat sebarang pembelian.

Fuziah menjelaskan tindakan kompaun yang dikenakan bukanlah bertujuan sebagai hukuman, namun lebih kepada pengajaran kepada semua pihak terutamanya buat peniaga di luar sana.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]