Pada bulan lepas, tularnya satu kejadian di mana sebahagian penduduk di Yogyakarta, Indonesia telah menyambut Ramadan lima hari awal berbanding umat Islam di negara lain.
Terbaharu, mereka dikhabarkan telah melaksanakan solat sunat Aidilfitri pada hari ini iaitu Jumaat, 5 April 2024.
Sudah Solat Sunat Hari Raya
Berdasarkan sumber yang dipetik dari CNN Indonesia, difahamkan jemaah dari Masjid Aolia di Panggang, Giriharjo, Gunungkidul, Daerah Istimewa Yogyakarta telah menunaikan solat sunat Aidilfiti pada 5 April 2024, Jumaat.
Katanya disebabkan penduduk di sana telah memulakan ibadah puasa seawal lima hari sebelum umat Islam di negara lain menyambut, masjid mereka telah melaungkan takbir raya pada pagi tadi di dua lokasi berbeza seawal jam 07.00 WIB (Waktu Indonesia Barat).
Ratusan jemaah Masjid Aolia juga dilihat bergegas ke masjid seawal 6 pagi WIB untuk menunaikan solat sunat hari raya.
Sambut Awal Ikut Kepercayaan Penduduk Setempat
Susulan isu ini tular dan mendapat pandangan berbeza dari netizen, Kementerian Agama Kabupaten Gunungkidul bagaimanapun telah mendapatkan penjelasan daripada imam Masjid Aolia berkaitan isu. Beliau menjelaskan bahawa itu adalah berdasarkan keyakinan diri mereka.
“Kementerian Agama telah bertanya kepada Mbah Ibnu (Imam Masjid Aolia, KH Ibnu Hajar Pranolo) mengapa beliau memulakan tarawih malam tadi. Dia memberi penjelasan bahawa ia berdasarkan keyakinan beliau,” jelas Aban Nuroni, Ketua Pejabat Kementerian Agama.
Nuroni turut menambah Kementerian Agama menghormati pendapat mereka mengenai fahaman permulaan dan pengakhiran Ramadan. Jemaah Masjid Aolia itu juga sememangnya menjalankan ibadah Ramadan lebih awal dan perkara itu sudah lama berlaku.
Katanya jemaah Masjid Aolia juga tidak memiliki perbezaan ketara dengan masyarakat Muslim yang lain, hanya sistem kalendar yang berbeza sama seperti sebahagian kelompok yang lain.
Kredit: CNN Indonesia