Seramai sembilan orang rakyat Malaysia yang menaiki pesawat Singapore Airlines penerbangan SQ321 sedang dirawat di dua hospital yang terletak di Bangkok, Thailand.
9 Rakyat Malaysia Tercedera
Berdasarkan laporan dari Wisma Putra, difahamkan enam daripada mereka berada di Hospital Samitivej Srinakarin, manakala tiga lagi di Hospital Samitivej Sukhumvit.
“Semua mangsa mengalami kecederaan fizikal dan dalaman dengan seorang mangsa mengalami kecederaan kritikal tetapi dalam keadaan stabil.
“Mereka berada di bawah pengawasan di wad secara berasingan dan sedang menunggu laporan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Laporan turut memaklumkan Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok sedang giat menyelaras dengan pihak berkuasa tempatan dan hospital selain menghulurkan bantuan konsular kepada rakyat Malaysia terbabit.
Kementerian Luar turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
“Kementerian ucapkan takziah kepada keluarga mendiang dan mendoakan kesembuhan segera kepada semua yang cedera dalam kejadian malang ini,” ujarnya.
Sebelum ini, seorang penumpang dilaporkan maut manakala beberapa lagi cedera apabila pesawat penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Lapangan Terbang Heathrow di London menuju Singapura mengalami keadaan gelora udara (turbulent) kuat.
Menurut laporan, enam penumpang cedera parah, 39 cedera sederhana dan 26 cedera ringan.
Kredit: Berita Harian