Pasangan selebriti terkenal yang juga merupakan usahawan berjaya iaitu Aeril Zafril dan Wawa Zainal dimaklumkan telah membayar zakat perniagaan sebanyak RM1.15 juta kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS).
Aeril Dan Wawa Bayar Zakat Perniagaan
Menerusi perkongsian yang dimuat naik oleh Aeril Zafril di laman Instagramnya, difahamkan jumlah yang dibayar itu adalah keuntungan yang diperoleh daripada perniagaan yang dijalankan pada tahun ini.
“Alhamdulillah, ini kewajipan yang perlu dilaksanakan. Kami bersyukur atas nikmat dan rezeki yang tidak pernah putus daripada Allah SWT. Ini juga berkat sokongan tanpa henti daripada semua pihak dan pelanggan setia kami. Semoga 2024 dan tahun seterusnya akan menjadi tahun yang lebih baik lagi buat kita semua,” katanya.
Harap Zakat Yang Dikeluarkan Dapat Bantu Golongan Yang Memerlukan
Kata Aeril atau nama sebenarnya Suhairil Sunari, 35, lagi, beliau harap zakat yang dikeluarkan itu dapat membantu golongan yang lebih memerlukan, disamping berharap orang ramai dapat menjadikan perkara tersebut sebagai contoh yang baik.
“Dalam rezeki kita, insya-Allah ada rezeki orang lain juga. Semoga ini dapat membantu golongan yang memerlukan. Saya percaya, LZS adalah agensi terbaik dalam menguruskan perkara ini. Semoga usaha ini menjadi langkah awal dan pendorong buat orang lain juga. Percayalah, tidak miskin orang yang bersedekah di jalan Allah,” ujarnya.
Untuk info, Aeril Zafril telah meraih penghargaan daripada pihak LZS kerana melaksanakan bayaran zakat melebihi RM50,000 pada tahun lalu.
Kredit: Instagram aeril_zafril