fbpx

Mencari rezeki bukanlah mudah bagi setiap orang, bahkan ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga demi rezeki yang halal dan untuk mencari pendapatan yang terbaik buat keluarga.

Ini yang terjadi pada keluarga seorang pemandu lori yang terpaksa hidup berjauhan dengan isteri dan anak-anak hingga tercetus rindu yang tidak dapat diungkap.

“Maafkan Ayah Nak, Ayah Jarang Balik”

Pada beberapa minggu yang lepas, tular satu video di laman TikTok yang dimuat naik oleh @haji_ghaporr93 berkenaan anak-anak pemandu lori menunggu untuk berjumpa dengan bapanya di jejantas dan video tersebut telah meraih 1.4 juta tontonan.

Menurut sumber Harian Metro, pemandu lori yang dikenali sebagai Muhammad Ghaffar Ilham berkata video berkenaan dibuat untuk menjadikan memori ketika mereka terpaksa tinggal berasingan selama dua tahun, apabila beliau hanya pulang ke rumah setiap dua minggu atas tuntutan kerja.

“Sebelum ini saya pandu kargo dan hanya pulang ke rumah seminggu sekali saja sebelum saya ubah angin pandu treler tangki pula dan pulang ke rumah dua minggu sekali kerana order di sekitar Johor Bahru sementara keluarga di Batu Pahat”, ulas beliau ketika ditemu bual oleh pihak Harian Metro.

Sekarang Tinggal Bersama, Namun Masa Bersama Keluarga Masih Kurang

“Sekarang kami tinggal bersama, cuma masa bersama keluarga masih kurang, kadang-kadang dua hari sekali baru balik. Tetapi saya usaha untuk pulang ke rumah juga biarpun bila sampai anak sudah tidur”, jelas beliau.

Menurut Ghaffar, beliau sudah memandu lori sejak tahun 2013 lagi iaitu bermula dengan lori ais sebelum beralih kepada muatan tiga tan dan treler kerana ketika itu beliau baru sahaja tamat pengajian di sebuah institut latihan kemahiran. Beliau juga memaklumkan bahawa beliau sukar untuk mendapat pekerjaan dalam bidangnya kerana tiada pengalaman.

” Saya bermula dengan menjadi kelindan lori dan dengan gaji itu saya kumpul duit untuk kahwin dan ambil Lesen Kenderaan Barangan (GDL). Saya pandu kargo pada 2015 dan sehingga kini rezeki masih sebagai pemandu treler”, ujarnya.

Netizen Membanjiri Ruangan Komen

Melihat di ruangan komen pada laman tiktok beliau, kesemua netizen yang meninggalkan komen amat terharu dan rasa sedih dengan hantaran yang dibuat, dan jumlah komen yang diterima adalah sebanyak 11.3 ribu.

Kredit: TikTok haji_ghaporr93, Harian Metro

[fbcomments]