Pelakon popular tanah air, Nora Danish, kini tampil dengan imej berhijab, sebuah perubahan besar dalam hidupnya yang mula menarik perhatian ramai. Dalam satu perkongsian mendalam menerusi podcast bersama Neelofa dan usahawan Natasha Ozeir, Nora menceritakan perjalanan penghijrahannya yang membawanya kepada keputusan untuk menutup aurat.
Pelakon berusia 42 tahun itu turut berkongsi detik-detik penghayatan terhadap agama yang akhirnya membuatkan dia tekad untuk berhijrah.
@rhea.zahra Doa agar dicintai Allah & mencintai Allah : اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ Allahumma inni as-aluka hubbaka wa Hubba man yuhibbuka, wal ‘amalalladzii yuballighunii hubbaka Ya Allah, aku memohon agar dapat mencintai-Mu, dan mencintai orang-orang yang mencintai-Mu, dan mencintai amal yang dapat mendekatkan diriku kepada cinta-Mu.” (HR. Tirmidzi 3235). Semoga Nora Danish istiqamah dalam penghijrahan beliau 🤲🏻. #podcastneelofa #noradanish #richmancoffee #neelofa #podcastnoradanish
Sudah Tanam Niat Untuk Bertudung Apabila Umur Cecah 40 Tahun
Nora mengakui sejak di usia 20-an, dia sudah menyimpan niat untuk berhijab apabila menginjak usia 40 tahun. Bagaimanapun, sebaik sahaja mencapai umur tersebut, dia mula mempersoalkan dirinya sendiri, bertanya mengapa perubahan yang diimpikan itu masih belum berlaku. Ketika itu, perasaan tidak tenang mula menyelubungi hatinya, terutama apabila melihat wanita lain yang bertudung dan lebih mendekatkan diri kepada agama. Nora mengaku sering merasa cemburu apabila melihat golongan wanita yang kelihatan lebih sempurna dari sudut agama.
Dorongan untuk memperbaiki diri semakin kuat apabila Nora mula menyertai kelas-kelas agama yang dianjurkan oleh rakan selebritinya, Betty Rahmad. Menerusi kelas tadabbur yang dihadirinya, Nora semakin sedar tentang pentingnya untuk berubah. Nora meluahkan rasa malu apabila setiap kali pulang dari kelas tersebut, dia menyedari dirinya masih belum melakukan sebarang perubahan yang ketara, meskipun dia tahu perkara itu perlu dilakukan.
Nora juga berkongsi bahawa sebelum perceraiannya dengan bekas suami, Nedim Nazri, dia sentiasa berdoa agar diberikan kekuatan untuk mencintai Allah SWT dengan sepenuh hatinya. Setiap hari, Nora mengulangi doa yang sama tanpa henti selama empat tahun, memohon agar Allah mencintainya dan mendekatkan dirinya kepada-Nya. Doa yang sering dibacanya itu, “اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ حُبَّكَ وَحُبَّ مَنْ يُحِبُّكَ وَالْعَمَلَ الَّذِي يُبَلِّغُنِي حُبَّكَ”, menjadi pegangan hidupnya sepanjang tempoh tersebut.
Keputusan untuk berhijrah menjadi lebih jelas selepas melalui fasa perpisahan dengan suami. Nora menyatakan bahawa proses perceraiannya dipermudahkan oleh Allah, dan dalam masa yang singkat, mereka berpisah secara baik. Setelah melalui pengalaman ini, Nora memfokuskan sepenuh perhatian kepada hubungannya dengan Allah, bersyukur kerana segala urusan perpisahan diselesaikan dengan mudah, dan beliau akhirnya berjaya melangkah ke fasa kehidupan baru dengan lebih tenang dan ikhlas dalam berhijrah.
Kredit: TikTok rhea.zahra