Menghadapi cabaran besar dalam kehidupan seawal usia remaja tidak pernah melemahkan semangat Mohamed Adam Baihaqi Mohamed Zadro, 19, apabila berjaya meraih keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.
Walaupun diuji dengan penyakit kanser limfoma sehingga memaksanya berehat daripada persekolahan hampir setahun, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bachok itu membuktikan bahawa kekuatan azam dan sokongan keluarga mampu menjadi pendorong kejayaan luar biasa.
![]()
Pelajar Hidap Kanser Lymphoma Raih Straight A’s Dalam SPM
Ketika disahkan menghidap kanser pada Mac 2023, Adam Baihaqi terpaksa menjalani enam sesi kemoterapi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), mengharungi kesan sampingan termasuk keguguran rambut, selain jarang dapat hadir ke kelas seperti rakan sebayanya.
“Saya pernah terfikir tidak sempat menduduki SPM dan akan meninggal dunia selepas disahkan menghidap kanser pada Mac 2023.”
“Selepas terpaksa ponteng sekolah selama setahun kerana perlu fokus kepada rawatan di HRPZ II (Hospital Raja Perempuan Zainab II), melihat rakan-rakan sekelas sudah menduduki SPM dan menyambung belajar, pada waktu itu saya rasa sangat sedih,” kongsinya.
![]()
Namun, selepas disahkan bebas daripada kanser pada Julai 2024, beliau kembali menyalakan semangat dalam diri untuk mengejar cita-cita menjadi pendidik. Ketekunan dalam mengulang kaji pelajaran di rumah dan sokongan berterusan daripada ibu bapa serta guru-guru mendorongnya memperoleh keputusan cemerlang dalam tujuh mata pelajaran.
Adam Baihaqi menganggap pengorbanan ibu bapanya, Mohamed Zadro Mohd Salleh, 50, dan Suzila Abdullah, 47, sebagai sumber kekuatan yang tidak ternilai, apatah lagi mereka sanggup melakukan apa sahaja demi memastikan beliau mendapat rawatan terbaik walaupun berdepan cabaran kewangan.
![]()
“Untuk mengubati kanser perlukan wang yang banyak, ayah dan ibu hanya bekerja biasa. Bagaimanapun mereka sanggup buat apa sahaja untuk saya, dari situlah semangat untuk mengulangkaji bersungguh-sungguh hadir.
“Alhamdulillah, rakan-rakan serta guru-guru banyak membantu sehingga saya berjaya memperoleh semua A dalam tujuh mata pelajaran yang diambil iaitu Bahasa Melayu, Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris, Geografi, Pendidikan Islam dan Sains,” tambahnya.
Beliau kini berhasrat untuk menyambung pengajian di Institut Pendidikan Guru (IPG) dan bercita-cita menyumbang kepada dunia pendidikan sebagai guru suatu hari nanti.
Kredit: Sinar Harian