fbpx

Pengasas rumah bonda, Siti Bainun Ahd Razali memberitahu Mahkamah Sesyen pada Khamis bahawa dirinya diugut bunuh, dikecam dan dipulau sejak kes pertuduhan terhadapnya tular.

Bainun yang membaca pernyataan saksi di hadapan Hakim Izralizam Sanusi berkata,dia hilang pekerjaan dan juga perniagaan makanan yang disuahakan.

“Saya dikecam dan diugut bunuh sejak daripada kes ini tular sehingga ke hari ini, hampir setiap masa.

“Saya juga dicemuh, dihina disebabkan tindakan Zurianty menyebarkan video Bella yang disunting.

“Rumah Bonda juga ditutup dan saya sudah pulangkan rumah yang saya ubah suai bagi tujuan keselesaan penghuninya dengan wang sumbangan.

Saya hilang pekerjaan, perniagaan makanan saya seperti dipulaukan. Pendek kata, saya hilang segala-galanya kerana tuduhan tidak berasas ke atas saya ini,” katanya.

Siti Bainun, 31, hadir tanpa diwakili peguam dan berkata tindakan saksi pendakwaan pertama, Zurianty Sudin menyebarkan video Bella yang disunting menyebabkannya hilang segala-galanya.

“Ketika mendapatkan rawatan di hospital, ada juga jururawat yang cuba membahayakan saya sehingga peguam terpaksa masuk campur untuk pastikan keselamatan saya,” katanya.

Dia yang menangis ketika membaca pernyataan saksi itu berkata, tindakan Zurianty merakam dan menyebarkan video itu mencurigakan kerana pembantu pengurus kewangan sebuah syarikat swasta itu tidak pernah mengambil tahu tentang Bella.

Sebelum ini katanya, Zurianty tidak pernah bertanya, ambil tahu, jaga, mandikan, suap atau bermain dengan Bella.

Sekiranya Zurianty berniat mahu menyelamatkan Bella, tiada keperluan untuk Zurianty bertindak dengan membabitkan banyak pihak serta menggunakan sentimen anak orang kurang upaya (OKU) didera, semata-mata mahu mendapatkan perhatian masyarakat.

Ia juga membantu Mona Din (aktivis) membangkitkan kemarahan netizen untuk membenci saya.

Sedangkan Zurianty tahu kesannya, saya akan dihina dan dicemuh oleh rakyat Malaysia yang tidak pasti akan kebenaran,” katanya.

Pada 24 November lalu, Mahkamah Sesyen di sini, Siti Bainun diperintah membela diri atas dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella,13, sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi di sebuah unit kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Siti Bainun berdepan hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Sumber: Astro Awani

[fbcomments]