Siapa sahaja yang tidak mengenali jejaka yang bernama Khairul Aming ini atau beliau lebih dikenali sebagai pempengaruh dalam dunia masakan. Setiap kali muncul bulan Ramadan, sudah semestinya beliau orang pertama yang muncul di semua platform untuk berkongsikan resepi mudah untuk diikuti oleh semua orang.

Tak Letakkan Syarat Untuk Calon Isteri Pandai Masak
Menurut sumber yang dilihat dari Mstar, Khairul Aming berkongsikan bahawa dirinya tidak pernah meletakkan sebarang syarat dalam pencarian calon isteri yang pandai memasak. Beliau yang berusia 31 tahun ini sedia memaklumkan untuk menggalas tanggungjawab di dapur memandangkan kemahiran yang beliau miliki dalam bidang masakan sudah diasah sejak kecil lagi.
“Jadi untunglah bakal isteri tak perlu masak.. biar saya yang ke dapur. Sejak kecil saya memang suka memasak, tiada masalah. Sampai kadang-kadang dekat rumah, mak saya tak masak. Saya yang masak. Saya tidaklah sampai nak interview pasangan tanya pandai masak atau tidak. Benda boleh belajar”, jelasnya kepada pihak Mstar.

Tiada Masalah, Bakal Isteri Boleh Belajar Memasak
Khairul Amin Kamarulzaman yang mesra disapa sebagai Amin mengatakan ia tidak menjadi satu kesalahan jika bakal isterinya tidak mempunyai kemahiran memasak kerana perkara itu boleh dipelajari seperti mana orang ramai belajar menerusi video perkongsian resepinya di media sosial.
“Kalau saya boleh kongsi video orang memasak, jadi dia (bakal isteri) pun boleh belajar juga”, ujarnya lagi.
Ketika ditemubual oleh media Mstar, beliau sempat mengatakan dirinya kini masih solo tetapi belum bersedia untuk menamatkan zaman bujang kerana sibuk menguruskan karier sebagai content creator dan juga perniagaannya dalam perusahaan sambal Nyet.

Belum Sedia Cari Calon Sebab Diri Tengah Sibuk
“Buat masa ini, saya belum bersedia untuk mencari pasangan kerana saya masih penat untuk menyeimbangkan tentang dunia content creator dan perniagaan. Saya baru tiga tahun berniaga, ada dua tiga kilang untuk dijaga. Buat masa sekarang saya fokus kepada kerjaya terlebih dahulu.. apabila sudah tiba masanya, nanti saya umumkan bila nak makan nasi minyak. Status saya sekarang masih single tapi belum available. Saya pasti umumkan berita gembira kepada orang ramai kerana kalau tak umum boleh jatuh fitnah”, tambahnya lagi untuk membuat pengumuman terbuka sekiranya beliau mahu mendirikan rumah tangga kelak.
Sementara itu, Amin juga sempat menitipkan pesanan buat semua content creator diluar sana agar meletakkan batasan terutama bercerita mengenai kehidupan peribadi secara umum, selain menegaskan dirinya hendak menjaga privasi keluarga dengan lebih ketat.
Kredit: Mstar