fbpx

Suami kepada bekas model dan pelakon Zahnita Dorothy Hussein Wilson telah ditahan polis susulan laporan keganasan rumah tangga yang dibuat oleh Zahnita.

Sudah 20 Tahun Bersabar, Zahnita Akhirnya Dedah Sikap Kaki Pukul Suami

Ketua Polis Daerah Kuantan iaitu Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu, mengesahkan penahanan suspek yang hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membantu siasatan.

Menurut Wan Mohd Zahari, suspek akan dibawa ke Mahkamah Kuantan untuk mendapatkan perintah reman bagi meneruskan siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan, serta Seksyen 18 Akta Keganasan Rumah Tangga.

Sumber memaklumkan bahawa insiden terbaru yang menyebabkan Zahnita mengalami kecederaan lebam di wajah berlaku pada pagi 26 November lalu. Difahamkan, kejadian tercetus selepas perselisihan faham antara pasangan itu di kediaman Zahnita.

“Mangsa dipercayai ingin tinggal berasingan setelah mengalami keganasan rumah tangga berulang kali. Ketika itu, dia diugut bunuh oleh suaminya sekiranya meninggalkan rumah sebelum dicederakan,” jelas sumber.

Zahnita, 39, turut berkongsi gambar menunjukkan lebam di wajahnya sebagai bukti keganasan yang dialaminya.

Dalam satu kenyataan, Zahnita mengakui telah bersabar selama lebih 20 tahun menghadapi situasi sebegini. Dia juga mendedahkan pernah memfailkan perceraian pada 2013, namun hubungan mereka diperbaiki selepas itu.

Katanya walaupun sudah membuat laporan polis, namun tiada sebarang tindakan yang diambil. Oleh yang demikian, Zahnita terpaksa membawa isu ini ke laman sosial agar tindakan segera dapat diambil.

Beliau turut memaklumkan bahawa pendedahan ini dibuat bukan untuk meraih simpati, tetapi sebagai langkah melindungi dirinya setelah kejadian seperti ini terus berulang.

Pihak berkuasa kini sedang menyiasat kes ini secara menyeluruh bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan.

Kredit: Harian Metro

[fbcomments]