fbpx

Lebih 550 jemaah haji dilaporkan meninggal dunia ketika menunaikan ibadah haji pada tahun ini akibat cuaca panas terik yang melanda hingga menyebabkan bahang suhu melampau yang mencecah 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram di Makkah.

Lebih 550 Jemaah Haji Meninggal Dunia Akibat Strok Haba

Berdasarkan laporan Berita Harian, dua pegawai diplomat Arab Saudi telah mengesahkan seramai 323 orang daripada jumlah itu membabitkan rakyat Mesir, dimana sebahagian besar daripada mereka juga meninggal dunia kerana penyakit yang berkaitan dengan strok haba.

“Semua mereka (rakyat Mesir) mati kerana kepanasan kecuali seorang yang mengalami kecederaan maut semasa rempuhan orang ramai, salah seorang diplomat.

“Jumlah itu direkodkan dari bilik mayat hospital di kejiranan Al-Muaisem di Makkah,” katanya kepada AFP.

Dalam pada itu, sekurang-kurangnya 60 jemaah dari Jordan turut meninggal dunia termasuklah negara Iran, Indonesia dan Senegal menjadikan rekod terbaharu mencecah 577 orang. Pihak berkuasa kesihatan Saudi juga merawat lebih 2,000 jemaah yang diserang strok haba, namun jumlah itu tidak dikemaskini sejak Ahad lalu (16 Jun 2024).

Suhu Makin Meningkat Dan Membimbangkan

Suhu di Tanah Suci terus menunjukkan peningkatan yang membimbangkan, dengan purata kenaikan sebanyak 0.4 darjah Celsius setiap dekad. Pada Isnin lalu, Pusat Meteorologi Kebangsaan di Riyadh mencatatkan suhu yang mencecah angka mengejutkan, iaitu 51.8 darjah Celsius di Masjidil Haram.

Keadaan cuaca yang terik melampau ini menyebabkan ramai jemaah berusaha mencari cara untuk menyejukkan badan mereka. Mereka menyiramkan air dari botol yang diberikan oleh sukarelawan pada tubuh dan kepala mereka dalam usaha untuk mendapatkan sedikit kelegaan dari panas yang membahang diri mereka. Pihak berkuasa kesihatan tempatan dengan tegas menyarankan agar para jemaah haji menggunakan payung sebagai perlindungan tambahan untuk mengurangkan risiko terkena strok haba, yang boleh mendatangkan bahaya serius kepada kesihatan.

Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa setakat ini mereka telah merawat lebih daripada 2,700 jemaah haji yang mengalami pelbagai penyakit yang berkaitan dengan kepanasan melampau.

“Haji adalah tugas yang sukar. Jadi, anda perlu berusaha dan melakukan ibadah walaupun dalam keadaan panas dan sesak,” menurut seorang jemaah Mesir kepada Reuters.

Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, kira-kira 1.8 juta jemaah menunaikan haji pada tahun ini, dengan 1.6 juta daripadanya datang dari luar negara.

Kredit: Berita Harian

[fbcomments]