Seorang pemandu mengalami detik mencemaskan apabila dipaksa membawa suspek kes tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Setia Alam keluar dari lokasi kejadian sehingga ke lebuh raya.

Dalam insiden yang berlaku baru-baru ini, suspek bersenjata dilaporkan melarikan diri selepas melepaskan tembakan yang mencederakan seorang pekerja kebersihan.

Suspek Kes Tembakan di Setia Alam Larikan Diri, Paksa Pemandu ke Lebuh Raya

Menceritakan pengalaman tersebut, pemandu yang enggan dikenali itu berkata dia bersama isteri dan empat anaknya sedang menjamu selera di sebuah restoran dalam pusat membeli-belah tersebut sebelum tiba-tiba diminta beredar oleh pengawal keselamatan.

Ketika membawa keluarganya ke tempat parkir, dia terdengar bunyi kuat yang disangka datang daripada kenderaan melanggar bonggol, namun tidak menyangka ia sebenarnya tembakan.

“Sebaik tiba di parkir dan mahu masuk ke dalam kereta, seorang lelaki tidak dikenali muncul secara tiba-tiba dan mengacukan pistol ke arah saya. Dia kemudian melepaskan satu das tembakan ke dinding, mungkin untuk menunjukkan senjata itu benar-benar berfungsi,” katanya.

Suspek kemudian mengarahkan kesemua mereka masuk ke dalam kenderaan sebelum duduk di bahagian belakang pemandu. Dalam keadaan terkejut dan bimbang keselamatan keluarganya, lelaki itu cuba meredakan suasana dengan meminta suspek menyimpan senjatanya agar anak-anak tidak ketakutan.

Sepanjang perjalanan yang mengambil masa kira-kira 45 minit, suspek mengarahkan pemandu melalui laluan tertentu sebelum akhirnya meminta untuk diturunkan di tepi lebuh raya. Sebelum beredar, suspek turut mengambil kad memori dari dashcam kenderaan tersebut bagi menghapuskan bukti.

Sementara itu, pihak berkuasa mengesahkan mereka telah mengenal pasti identiti suspek dan sedang giat memburunya. Lelaki berkulit cerah itu didapati mempunyai 11 rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

Polis kini sedang menjalankan siasatan lanjut bagi memastikan suspek dapat ditangkap dalam kadar segera.

Kredit: Sinar Harian

 

[fbcomments]