Pasangan selebriti Syamsul Yusof dan Ira Kazar kini secara rasmi mengakhiri ikatan perkahwinan mereka yang telah berlangsung hampir dua tahun.
Perceraian talak satu antara mereka telah disahkan hari ini (Khamis) oleh Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor, melalui lafaz cerai taklik yang dilafazkan sekitar pukul 10.30 pagi.
Syamsul Dan Ira Sah Cerai Talak Satu
Dalam satu kenyataan, Afiq Fadhil, peguam syarie yang mewakili Ira, memaklumkan bahawa mahkamah telah mengesahkan penceraian tersebut sebagai sah. Beliau menambah bahawa lafaz cerai yang dibuat di luar mahkamah turut diakui oleh pihak mahkamah.
“Mahkamah putuskan penceraian sudah berlaku di luar mahkamah di antara Syamsul dan anak guam saya. Itu saja boleh saya katakan,” jelasnya.
Sementara itu, Azmi Rais iaitu peguam yang mewakili Syamsul, menjelaskan bahawa perceraian ini berkait rapat dengan pelanggaran lafaz taklik oleh Ira. Azmi memaklumkan bahawa pelanggaran tersebut termasuk hantaran di media sosial pada 14 Ogos, dan mahkamah mendapati Ira telah melanggar lafaz taklik sebanyak lima kali dengan pelanggaran pertama berlaku pada tarikh tersebut.
Hakim Syarie Mohd Faizal Habib memutuskan bahawa perceraian adalah sah dan memerintahkan Ira menjalani tempoh edah selama tiga bulan bermula dari 14 Ogos.
Keputusan untuk memfailkan perceraian dibuat oleh Syamsul pada 16 Ogos di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, Selangor, setelah pasangan ini menghadapi ketidaksefahaman yang tidak dapat diselesaikan.
Sekadar info, Syamsul dan Ira telah melangsungkan perkahwinan mereka pada 6 Januari tahun lalu di Selatan Thailand. Syamsul juga telah berpisah secara rasmi dengan isteri pertamanya iaitu Puteri Sarah, pada 14 Jun tahun lalu selepas Puteri Sarah memfailkan perceraian.
Kredit: OhBulan!