fbpx

Baru-baru ini penyanyi tersohor Malaysia iaitu Datuk Nora Ariffin berkongsi kisahnya yang dikatakan hampir ‘pergi’ buat selamanya ketika sedang dirawat di sebuah hospital akibat sesak nafas.

Masuk Hospital Sebab Doktor Syak Demam Denggi

Memetik laporan Sinar Harian, difahamkan pada awalnya Nora disyaki menghidap demam denggi ketika membuat pemeriksaan di sebuah klinik. “Asalnya saya ke klinik kerana demam dan doktor syak saya dijangkiti demam denggi,” katanya.

Atas nasihat doktor, Nora bergegas ke sebuah hospital untuk menerima rawatan lanjut dan dimasukkan air ke dalam badannya untuk tujuan perubatan. Namun ketika dirinya dirawat, kesilapan teknikal oleh pihak hospital dikatakan berlaku ke atas Nora yang menyebabkan paru-parunya dipenuhi dengan air.

“Mungkin disebabkan ‘overdrip’, badan saya alami air berlebihan termasuk di bahagian paru-paru sehingga menyukarkan saya bernafas,” jelasnya lagi.

Nora Masuk ICU Dan Dirawat 3 Orang Pakar

Disebabkan kesalahan teknikal yang dilakukan oleh pihak hospital, Nora dimasukkan ke ICU di hospital lain dan dirawat oleh tiga orang pakar perubatan. “Ketika sesak nafas, saya hanya nampak putih sahaja dan rasa masa saya sudah tiba,” ujarnya.

Ketika dalam keadaan kritikal itu, Nora juga sempat bertaubat dan menitipkan pesanan buat suami tercintanya iaitu Dr. Rushdi Ramli untuk menjaga anak-anak mereka dengan baik. Namun dengan bantuan Allah, Nora seperti diberi peluang kedua untuk hidup apabila tersedar selepas tiga hari berada di unit rawatan rapi itu.

“Ketika dimasukkan ke ICU doktor buang air berlebihan dan maklumkan, saya alami serangan jantung kecil, tapi bukan disebabkan oleh kegagalan jantung, sebaliknya kerana air berlebihan itu. Rawatan susulan memang ada sebab doktor nak pantau keadaan kesihatan saya. Alhamdulillah, lebih kurang seminggu selepas itu, semuanya kembali normal,” katanya.

Walaupun beliau telah melalui pengalaman cemas yang tidak disangkakan itu, Nora bagaimanapun mengambil pendirian untuk memaafkan kesilapan pihak hospital yang merawatnya dulu.

Kredit: Sinar Harian

[fbcomments]