Seorang pemuda lelaki yang menyamar menjadi wanita dengan memakai tudung labuh berserta niqab sebelum menyeludup ke dalam ruangan solat wanita akhirnya terbongkar selepas dia berjaya ditangkap oleh ahli jawatankuasa (AJK) masjid.
Ditangkap Ketika Berada Dengan Jemaah Wanita
Difahamkan kejadian tersebut berlaku di Masjid Jannatul Firdaus, Bandar Makassar dalam wilayah Sulawesi Selatan, Indonesia pada Ahad yang lalu dan lelaki yang berusia 28 tahun itu ditangkap ketika dia berada bersama-sama dengan jemaah wanita yang lain.
Ketua Polis Manggala, Makassar, Syamsuardi mengesahkan kejadian tersebut dan beliau memaklumkan bahawa lelaki terbabit ditangkap oleh AJK masjid selepas dia menunjukkan tingkah laku dan pergerakan yang aneh serta mencurigakan.
Hasil soal siasat keatasnya mendapati dia mengakui bahawa dia melakukan penyamaran sebagai wanita kerana mempunyai keinginan untuk melihat wajah jemaah wanita di masjid berkenaan.
Identiti pelaku masih belum diketahui, manakala dia telah dijamin di Ibu Pejabat Polis Manggala.
“Kami telah menahannya di balai polis untuk mengawal perkara yang tidak diingini. Polis masih menyiasat mengenai kebarangkalian wujudnya unsur jenayah,” kata Syamsuardi.
Kredit: portal Serambinews