Niat dua beradik untuk ke sekolah bagi memastikan sendiri sesi persekolahan ditutup susulan jerebu bertukar tragedi apabila mereka maut bersama abang mereka dalam kemalangan di Jalan Parit Haji Siraj, Pontian pada pagi Khamis.
Nor Daniel Fikri Norlizan, 11, Puteri Naufa Raisya, lapan tahun, dan abang mereka, Nor Daniel Aiman, 18, maut selepas motosikal dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori kira-kira jam 7 pagi. Kejadian berlaku hanya sekitar 200 meter dari rumah keluarga.
![]()
Sekolah Ditutup Akibat Jerebu, Dua Adik Tetap Mahu Ke Sekolah Sebelum Maut Bersama Abang
Ibu mangsa, Julaiha Munaji, 42, berkata dia sudah memaklumkan kepada kedua-dua anaknya bahawa sekolah di seluruh Johor ditutup selama dua hari susulan kemerosotan kualiti udara akibat jerebu. Bagaimanapun, kedua-duanya tetap berkeras mahu ke sekolah menyebabkan Aiman mengambil keputusan menghantar mereka untuk membuktikan sendiri bahawa sekolah benar-benar ditutup sebelum membawa mereka pulang.
Menurut Julaiha, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekolah turut menunjukkan ketiga-tiga beradik itu tiba di premis berkenaan sebelum berpatah balik selepas mendapati sekolah ditutup.
![]()
Julaiha berkata, dia hanya mengetahui mengenai kemalangan itu selepas seorang individu yang dalam perjalanan ke tempat kerja datang ke rumah dan memaklumkan kepada bapanya mengenai kejadian tersebut. Bapanya kemudian bergegas ke lokasi dan mendapati dua daripada cucunya sudah meninggal dunia, manakala Aiman dibawa ke hospital sebelum turut disahkan meninggal dunia.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintenden Hadzrat Hussein Mion Hussian, mengesahkan kejadian dan memaklumkan siasatan lanjut sedang dijalankan sebelum kenyataan rasmi dikeluarkan.
![]()
Mengimbas kembali anak-anaknya, Julaiha berkata Aiman seorang yang pendiam tetapi gemar bergurau dengannya, manakala ketiga-tiga beradik itu sangat rapat dan masih tidur bersama keluarga pada malam sebelum kejadian. Dalam pada itu, ibu saudara mangsa, Norimah Khamis, 40, berkata Nor Daniel Fikri begitu bersemangat untuk ke sekolah sehingga tidak sempat memakai kasut bola baharu yang dibelikan ibunya.
Katanya, kanak-kanak itu mahu melihat sendiri keadaan sekolah selepas dimaklumkan sesi persekolahan ditutup pada hari berkenaan.
Kredit: Buletin TV3