Lima parah manakala sembilan, termasuk seorang bayi, cedera ringan, selepas kenderaan dinaiki mereka terperosok ke bawah sebuah treler dalam kemalangan di kilometer (km) 222.7 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan, malam tadi.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam berhampiran Pedas Linggi. Treler yang dipandu lelaki berusia 31 tahun berkenaan secara tiba-tiba hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan melintang di tengah lebuh raya.
Mengakibatkan kesesakan lebih 12km
Menurut Ketua Polis Daerah Rembau, siasatan awal mendapati treler yang dalam perjalanan dari Klang, Selangor ke Melaka itu dipandu di lorong kiri, sebelum dipercayai hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan.
Ekoran kejadian itu, tiga kenderaan lain gagal mengelak dan terperosok ke bawah treler berkenaan.
Kenderaan Honda Jazz, Toyota Hilux dan Nissan Grand Livina, yang datang dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan terpaksa merempuh bahagian badan treler tersebut.
Akibat kemalangan itu, pemandu dan tiga penumpang Honda Jazz serta pemandu Toyota Hilux, cedera parah manakala pemandu Nissan Grand Livina dan treler itu tidak mengalami kecederaan.”