Kisah Ahmad Madani, bayi lelaki yang dilahirkan ketika ibunya berada di Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026, kembali mendapat perhatian selepas bayi yang digelar ‘Baby MAHA’ itu menerima kunjungan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Haji Mohamad Sabu.

Mohamad Sabu Ziarah ‘Baby MAHA’, Sampaikan Sumbangan Kepada Keluarga

Menerusi perkongsian Jabatan Pertanian Malaysia, Mohamad Sabu atau lebih mesra disapa Bang Mat berkesempatan menziarahi Ahmad Madani bersama keluarganya di kediaman mereka. Dalam kunjungan tersebut, beliau turut mendukung bayi berkenaan selain menyampaikan cenderahati dan sumbangan sebagai tanda ingatan kepada keluarga.

Sebelum kelahiran Ahmad Madani, ibunya mengalami tanda-tanda hendak bersalin ketika berada di lokasi MAHA 2026. Petugas MAHA yang menyedari keadaan itu kemudian bertindak pantas membantu ibu berkenaan mendapatkan rawatan bagi memastikan keselamatan ibu dan bayi.

Detik mencemaskan tersebut akhirnya berakhir dengan berita gembira apabila ibu berkenaan selamat melahirkan seorang bayi lelaki. Bayi itu kemudiannya diberi nama Ahmad Madani, manakala kisah kelahirannya di lokasi MAHA menjadikannya antara cerita yang mencuri perhatian sepanjang penganjuran acara berkenaan.

Dalam kesempatan sama, Datuk Seri Mohamad turut menitipkan doa agar Ahmad Madani membesar dengan sihat, menjadi anak yang soleh serta membawa kebahagiaan kepada ibu bapa dan keluarganya. Kisah ‘Baby MAHA’ itu kini menjadi salah satu kenangan tersendiri yang tercipta di sebalik penganjuran MAHA 2026.

Kredit: Jabatan Pertanian Malaysia

 

 

[fbcomments]