Seorang pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama di Jasin kerugian RM749 selepas wang hasil jualan dipercayai diambil seorang pelajar lelaki Tingkatan 2.
![]()
Wang Jualan Kantin RM749 Hilang, Pelajar Tingkatan 2 Dikesan Menerusi CCTV
Perkara itu disedari kira-kira jam 9.30 malam apabila pekerja kantin mendapati bungkusan yang mengandungi wang jualan sudah tidak berada di tempat asal berhampiran peti duit. Wang berkenaan merupakan hasil jualan makanan bagi sesi petang antara jam 2 hingga 5 petang.
Pengusaha kantin, Nur Liyana Abdul Khalid, 30, berkata semakan rakaman CCTV menunjukkan seorang pelajar berpakaian kurta kelabu, berseluar hitam dan berkopiah masuk ke kawasan kaunter sebelum mengambil bungkusan tersebut.
Menurutnya, pelajar itu pada mulanya hanya mengakui mengambil RM5, namun kemudian mengaku mengambil keseluruhan RM749 selepas ditanya beberapa kali. Pekerja kantin yang meminta wang tersebut dipulangkan hanya menerima RM718, manakala baki RM31 dikatakan telah digunakan untuk membayar hutang kepada rakannya.
![]()
Susulan kejadian itu, pekerja yang berada di lokasi membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. Nur Liyana berkata, dia sudah mengusahakan kantin berkenaan sejak 2024 dan pernah berdepan beberapa kejadian kehilangan wang sebelum ini, tetapi tidak membuat laporan kerana tiada bukti kukuh.
Kali ini, dia mengambil keputusan untuk membuat laporan kerana tidak mahu kejadian sama berulang serta berpendapat perbuatan tersebut tidak sepatutnya berlaku dalam kawasan sekolah.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert, mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu dan siasatan masih dijalankan.
Kredit: Berita Harian